Keganasan Rumahtangga (Hak Anda di sisi Undang-Undang)
Proses undang-undang dalam kes keganasan rumahtangga sebenarnya tidak rumit. Yang menjadikannya rumit ialah dilema yang dihadapi oleh mangsa, maklumbalas pihak penguasaan dan lain-lain aspek sikap manusia. Penulisan ini bertujuan untuk memberikan panduan umum bagi menerangkan hak anda sebagai mangsa keganasan rumahtangga.
RINGKASAN
1. Di peringkat permulaan, keutamaan anda ialah keselamatan diri dan anak-anak. Fokuskan kepada itu dulu. Cuba dapatkan dokumen penting bersama anda (IC, MyKid) dan wang tunai.
2. NASIHAT AWAL & TEMPAT PERLINDUNGAN Hubungi NGO. Dapatkan nasihat. Mereka pakar dalam bidang ini. Tiada bayaran dikenakan. Terdapat NGO yang boleh menempatkan anda di rumah perlindungan rahsia (bersama anak-anak sekali) untuk tempoh sementara.
a. Hotline Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organisation, WAO) 03-3000 8858 (Seluruh Malaysia)
b. Hotline TINA (SMS atau Whatsapp) : 018 988 8058
c. Women’s Centre for Change : 04 228 0342 – Hotline 011 3108 4001
d. Pusat Perkhidmatan Wanita (WCC Seberang) 04-398 8340 – Hotline 016 4390698
e. Hotline Teratai Rahmah Wanita Islam 011-5769 5171
f. Talian Kasih No.: 15999
3. BANTUAN GUAMAN (KHIDMAT NASIHAT). Kebanyakan contact dianggotai oleh peguam sukarelawan. Lazimnya, anda perlu membuat janji temu dan khidmat nasihat tidak diberikan atas talian. Mungkin lebih baik anda merujuk khidmat mereka setelah kes setelah keadaan dan fıkiran lebih terkawal dan anda mampu memberi komitmen masa dan tumpuan mental untuk mempertimbangkan status anda di sisi undang-undang berdasarkan nasihat mereka.
a. Pertubuhan Khidmat Nasihat Guaman dan Bantuan Wanita LAWA 03-2203 3884; 012-386 3884
b. 03-7784 3733 (TeleNISA) – Hotline 012-812 3424
c. Klinik Bantuan Guaman, Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur 03-2691 1121
d. Klinik Bantuan Guaman, Jawatankuasa Peguam Selangor 03-5510 7007
Beberapa kali setahun, saya dan rakan-rakan peguam saya juga menganjurkan klinik bantuan guaman sejak 2015. Bermula tahun 2021, kami menjalankan klinik bantuan guaman percuma khas untuk masyarakat awam yang mengalami permasalahan undang-undang kerana terkesan dengan pendemik Covid-19. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, sesi kami dalam tahun 2021 menunjukkan peningkatan lebih 100% statistik anakguam yang merujuk khidmat kami kerana isu yang berkaitan dengan perceraian.
4. Jika perlu, buat Laporan Polis. Bawa IC, sijil perkahwinan, MyKid / Sijil Kelahiran anak-anak. Sekiranya anda tidak sempat mendapatkan IC atau dokumen anak-anak, tidak mengapa. Bukan setiap kes wajib dibuat laporan polis KECUALI penderaan fizikal (seksual) terhadap anak-anak.
5. JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (“JKM”) mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (“EPO”, “Emergency Protection Order”) tanpa anda membuat Laporan Polis. Pada pandangan saya, sepatutnnya pegawai JKM sendiri boleh membuat laporan polis.
6. Laporan Polis menjadi lebih penting bagi menyokong permohonan anda untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (“IPO”, “Interim Protection Order”).
7. Polis akan membawa anda untuk pemeriksaan doktor untuk mengesahkan sebarang kecederaan dan merekodkan bukti. Doktor hanya boleh mengesahkan kecederaan untuk tujuan keganasan rumahtangga ini jika diminta oleh Polis. Doktor swasta tidak diberi mandat untuk mengesahkan kecederaan sedemikian (keganasan rumahtangga) untuk anda bagi maksud ini, dan lazimnya doktor swasta akan menasihatkan anda untuk merujuk ke Hospital kerajaan dan/atau Polis.
Sila bezakan tujuan rawatan dan tujuan laporan perubatan disediakan. Rawatan adalah untuk merawat / menstabilkan anda pada ketika itu sahaja. Manakala tujan laporan perubatan untuk digunakan sebagai bahan bukti di masa hadapan.
8. Sila berikan keterangan dan segala bukti penderaan kepada pihak Polis. Mereka akan mendapatkan penerangan lanjut daripada anda jika perlu.
9. Uruskan anak-anak dan lain-lain orang di bawah jagaan anda. Dapatkan nasihat NGO. Bergantung kepada SOP dalaman NGO masing-masing, (yang berbeza mengikut setiap organisasi) mereka mungkin akan merujuk anda kepada JKM atau membawa anda ke rumah perlindungan di bawah seliaan NGO / JKM.
10. Anda boleh menghubungi JKM terus tetapi mereka kadang-kadang tidak cukup tangan, tambahan pula dalam tempoh pandemik Covid-19 memberi kesan kepada banyak agensi kerajaan. Saya pernah menasihatkan seorang lelaki yang didakwa mendera anak oleh bekas isteri. Bekas isteri telah melaporkan dakwaan kepada pihak Polis bahawa anaknya telah didera oleh anakguam saya. Pegawai JKM hanya sempat menemubual bekas isteri tersebut dan membawa kanak-kanak tersebut untuk pemeriksaan perubatan. JKM tidak melakukan apa-apa selepas itu. Respons, maklumbalas, tindakan dan keputusan JKM amat perlahan dan samar-samar dan kes telah berlanjutan sekian lama. Polis dan JKM tidak mengambil sebarang tindakan dan tidak memberikan sebarang makluman kepada kedua-dua pihak. Akhirnya, kanak-kanak yang terbabit telah mengaku hanya mereka-reka cerita telah didera dan kes telah diselesaikan. Saya tidak pasti sama ada kanak-kanak tersebut mengalami permasalahan psikologi dan mendoakan kesejahteraan mereka.
11. Anda perlu mendapatkan tempat perlindungan dan kaunseling untuk diri anda, anak-anak dan pesalah. Dapatkan nasihat NGO / JKM untuk urusan kaunseling. Terdapat juga pakar perunding swasta yang boleh membantu.
12. Anda perlu bergerak dengan pantas.
PERINTAH PERLINDUNGAN
1. Terdapat 3 jenis Perintah Perlindungan yang boleh bantu melindungi anda daripada diancam, dihubungi atau didekati pihak pesalah dan mana-mana pihak lain yang bertindak bagi pihak pesalah termasuk keluarganya.
2. Perintah Perlindungan (merangkumi EPO, IPO dan PO) diserahkan oleh Polis kepada pesalah secara langsung. Perintah Perlindungan mengandungi pernyataan dan amaran kepada pesalah: bahawa mereka diperintahkan untuk tidak boleh melakukan keganasan rumahtangga terhadap anda.
3. Perintah Perlindungan (IPO dan PO) boleh mempericikan supaya dimasukkan terma:
· pesalah dilarang daripada menghampiri anda,
· tidak menghubungi anda,
· tidak mengganggu anda,
· tidak menghampiri kediaman dan tempat kerja anda,
· tidak boleh menghalau anda daripada kediaman anda,
· dan lain-lain terma.
4. Terma-terma tersebut boleh diubahsuai mengikut keadaan kes anda. Saya faham anda mungkin sedang trauma atau stress pada ketika permohonan. Tetapi anda perlu jelas dengan matlamat anda bagi memperoleh perlindungan untuk diri anda dan anak-anak anda. Sila pastikan supaya permohonan yang dibuat mengambilkira keperluan anda. Anda perlu proaktif dan ambil tahu terma-terma yang dipohon. Jangan serahkan sepenuhnya kepada pihak/agensi lain kerana mereka bertindak secara lazim mengikut format dan templat yang sedia ada. Jika anda tidak proaktif, ada kemungkinan Perintah Perlindungan yang dikeluarkan terhadap pesalah tidak memberikan perlindungan yang diperlukan.
5. Pada pandangan saya, skop perlindungan EPO sedikit kurang berbanding IPO dan PO dari segi terma-terma yang boleh dimasukkan ke dalam perintah. Kelebihan EPO ialah boleh diperolehi dengan segera dan tidak memerlukan laporan polis.
APAKAH KAITAN ANTARA EPO, IPO DAN PO?
1. Tempoh hidup Perintah Perlindungan
a. Tempoh hidup EPO ialah 7 hari, manakala tempoh IPO adalah sehingga penyiasatan selesai. Oleh itu jika penyiasatan berlanjut sehingga setahun atau dua atau tiga tahun, maka IPO masih berkuatkuasa dalam tempoh tersebut.
b. Tiada prosidur yang mewajibkan JKM atau IO untuk memaklumkan hasil siasatan kepada anda. Perkara ini adalah penting kerana IPO akan luput apabila pesalah dituduh di Mahkamah.
c. Tempoh PO di Mahkamah ialah 12 bulan dan boleh dilanjutkan sebanyak 1 kali selama 12 bulan. Oleh itu, sekiranya kes di mahkamah berpanjangan melebihi 2 tahun, sama ada melalui proses bicara atau rayuan, maka anda tidak akan dapat perlindungan PO selepas 2 tahun. Implikasinya, sekiranya seluruh kes termasuk peringkat rayuan mengambil masa 3 tahun, maka anda tidak akan dilindungi oleh PO untuk tahun ke-3. Bagaimanapun, anda masih boleh mendapat perlindungan daripada undang-undang yang lazim. Di samping itu, sekiranya pesalah dijamin sementara menunggu proses rayuan, DPP boleh memohon kepada Mahkamah untuk membatalkan jamin sekiranya pesalah mengganggu atau mendera anda.
d. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 tidak mewujudkan Perintah Perlindungan dalam tempoh selepas keputusan bicara. Oleh itu, sekiranya pesalah disabitkan dan dipenjarakan, tiada Perintah Perlindungan berkuatkuasa setelah beliau keluar dari penjara. Di samping itu, tiada Perintah Perlindungan yang berkuatkuasa sekiranya pesalah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah, atau pertuduhan ditarik balik oleh DPP.
e. Adalah kurang jelas sama ada PO baru boleh dikeluarkan sekiranya pertuduhan difailkan semula dalam kes “DNAA” (dilepaskan tanpa dibebaskan) atau sekiranya Mahkamah Tinggi memerintahkan kes dibicarakan semula. Saya berpandangan bahawa PO hanya boleh diperintahkan sekali iaitu pada kali pertama pertuduhan difailkan. Kesannya, anda perlu sentiasa berwaspada dan berhubung dengan IO supaya pihak polis dapat bertindak sekiranya keselamatan anda diancam oleh pesalah atau orang yang bertindak bagi pihaknya. Jika IO tidak memberikan maklumbalas, maka anda perlu proaktif dan terus menghubungi DPP dan memohon untuk jamin pesalah dibatalkan. Mahkamah (dan DPP) akan memerlukan bukti kukuh untuk bertindak atas aduan anda – oleh itu anda perlulah bersedia dengan bukti dan laporan polis untuk dimajukan kepada DPP.
2. Hukuman
Hukuman untuk kesalahan melanggar terma Perintah Perlindungan adalah sama. Terdapat juga hukuman untuk perlanggaran berulang yang tidak dicatit di dalam jadual di atas sekali.
3. Kuasa Tangkapan
Jika Mahkamah berpuashati bahawa pesalah berkemungkinan untuk melakukan keganasan rumahtangga terhadap anda, Mahkamah hendaklah (wajib) memasukan Kuasa Tangkapan ke dalam IPO atau PO yang berkenaan.
Oleh itu, adalah penting untuk anda menegaskan di dalam permohonan anda bahawa anda memerlukan supaya IPO / PO mengandungi Kuasa Menangkap kerana pesalah akan mencederakan anda atau melakukan lain-lain keganasan rumahtangga (yang pelbagai bentuk termasuk penindasan dari segi kebendaan / kewangan dan bukan kecederaan fizikal semata-mata)
Oleh kerana Seksyen 7 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 mensyaratkan Mahkamah berpuashati bahawa pesalah berkemungkinan akan mencederakan anda, maka bagi memuashati Mahkamah, anda perlulah memberikan sebab atau bukti.
Bagi membantu melancarkan pembacaan anda, saya akan menangguhkan ke akhir penilisan ini ulasan saya berkaitan dengan isu Kuasa Tangkapan. Pada pemahaman saya, tangkapan di bawah Kuasa Tangkapan di bawah Seksyen 7 Akta berbeza dengan tangkapan untuk kesalahan yang dianggap sebagai kesalahan boleh tangkap di bawah Seksyen 18A.
ULASAN LANJUT
1. SIAPAKAH MANGSA DALAM KEGANASAN RUMAHTANGGA?
a. Di bawah takrifan Akta Kegananasan Rumahtangga 1994 (dirujuk dalam penulisan ini sebagai “Akta”), mangsa tidak terhad kepada wanita (isteri) tetapi juga merangkumi anggota keluarga lain seperti:
i. Suami
ii. Anak termasuk anak angkat, anak tiri dan anak tak sahtaraf.
iii. Lain-lain orang yang dianggap oleh Mahkamah sebagai ahli keluarga termasuklah adik beradik, ibubapa, ibubapa mertua, datuk dan nenek serta cucu dan anak/ibubapa angkat.
b. Bekas suami dan bekas isteri juga dilindungi di bawah Undang-Undang yang sama. Tiada had masa kepada perlindungan ini: Seorang bekas suami/isteri akan mendapat perlindungan di bawah Akta ini selama-lamanya.
c. Tunang, boyfriend / girlfriend, dan ex-boyfriend / ex-girlfriend, pasangan gay/lesbian tidak dilindungi di bawah Undang-Undang tersebut. Bagaimanapun, sebahagian daripada perlakuan keganasan jenayah masih boleh diambil tindakan di bawah undang-undang jenayah yang lain seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil.
2. APAKAH UNDANG-UNDANG UTAMA YANG MELINDUNGI MANGSA KEGANASAN RUMAHTANGGA?
a. AKTA KEGANASAN RUMAHTANGGA 1994
b. KANUN KESEKSAAN
c. KANUN TATACARA JENAYAH
d. AKTA KANAK-KANAK 2001
e. AKTA KESALAHAN SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK 2017
Peringatan : Keganasan rumahtangga bukan sahaja tertumpu kepada pihak isteri/wanita tetapi juga meliputi keganasan terhadap anak-anak, suami, orang tua, dan lain-lain orang yang Mahkamah memfikirkan termasuk dalam sebahagian keluarga anda.
Tahukah Anda :
Mangsa keganasan rumahtangga juga boleh menjadi pesalah apabila beliau melakukan keganasan sekunder terhadap orang lain, misalnya terhadap anak-anak dan orang-orang tua. Oleh itu, hakiktn bahawa anda juga merupakan seorang mangsa tidak akan melindungi (melepaskan) anda daripada tindakan diambil sekiranya anda juga mendera orang lain di dalam keluarga.
3. APAKAH BENTUK-BENTUK KEGANASAN RUMAHTANGGA YANG DILINDUNGI DI BAWAH UNDANG-UNDANG?
Keganasan rumahtangga mempunyai maksud yang luas dan tidak terhad kepada perbuatan memukul isteri, memukul suami atau memukul ibubapa. Ia juga merangkumi perbuatan tak fizikal seperti memberikan tekanan psikologi, mengurung mangsa tanpa kerelaan mangsa, merosakkan harta, menjejaskan perniagaan dan menggelapkan wang.
Antara perbuatan keganasan rumahtangga di bawah liputan Akta:
Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan dan kecederaan fizikal.
Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.
Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya yang mangsa itu berhak tidak melakukannya.[1]
Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.
Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu. dengan cara yang menyalahi undang-undang atau
Dalam hal jka mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan.
Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuk kecederaan emosi kepada mangsa.
Menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lainn tanpa kerelaan itu diperoleh
Dengan curang menggelapkan harta mangsa yang menyebabkan mangsa itu mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan;
Mengugut mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa itu takut akan keselamatan dirinya atau keselamatan hartanya, takut akan keselamatan pihak ketiga, atau mengalami kesedihan;
Berhubung dengan mangsa, atau berhubung dengan pihak ketiga tentang mangsa, dengan niat untuk mengaibkan kehormatan mangsa itu melalui apa-apa cara, elektronik atau selainnya.
Tahukah Anda:
1. Wajib laporkan keganasan terhadap Kanak-Kanak sama ada anak sendiri atau anak di dalam keluarga sendiri, sama ada penderaan fizikal atau emosi. Jika kita tidak melaporkan penderaan terhadap Kanak-Kanak, ini terjumlah kepada kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 28(2) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu hukuman denda sehingga RM5,000.00, atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
2. Kita boleh melaporkan penderaan fizikal atau emosi terhadap Kanak-Kanak walaupun bukan anak kita sendiri. Seksyen 29A Akta Kanak-Kanak 2001 mengiktiraf bahawa orang awam boleh melaporkan penderaan terhadap Kanak-Kanak.
3. Adalah salah untuk menyembunyikan (“cover up”) keganasan terhadap Kanak-Kanak terutamanya keganasan berbentuk penderaan seksual. Sekiranya kita tahu telah atau akan berlakunya kesalahan seksual terhadap seorang Kanak-Kanak walaupun bukan anak kita sendiri, kita wajib melaporkannya kepada Polis. Jika kita buat diam atau buat tahu sahaja, kegagalan kita untuk melapor adalah suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda sehingga RM5,000 di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
4. Sekiranya kita mempunyai hubungan amanah/tanggungjawab ke atas Kanak-Kanak tersebut (guru, pengasuh, ibubapa, doktor, dan sebagainya) dan gagal melaporkan penderaan seksual, anda boleh didakwa di Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dikenakan hukuman maksima 5 tahun penjara di bawah Seksyen 16(1) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 19.
INI BUKAN KEGANASAN RUMAHTANGGA – TETAPI BERKEMUNGKINAN MENIMBULKAN KESAN UNDANG-UNDANG DAN MORAL YANG LAIN
(i) Bergaduh atau memarahi pasangan semata-mata
(ii) Tidak turun ke bawah rumah, tidak makan bersama, tarik muka dengan ibubapa mertua
(iii) Menyatakan dengan nada kasar kepada ibubapa mertua, “Jangan sekali lagi campurtangan dalam urusan kami” semata-mata
(iv) Menyembunyikan telefon bimbit atau menghalang isteri menggunakan telefon bimbit, semata-mata
(v) Melihat rekod panggilan dalam telefon bimbit suami
(vi) Mengintip (spying) pasangan untuk melihat sama ada beliau curang
(vii) Tidak melakukan seks dengan pasangan
(viii) Membakar koleksi komik kesayangan suami
(ix) Menyembunyikan kunci kereta dengan niat untuk menyekat pergerakan suami
(x) Mengabaikan perasaan pasangan kerana terlalu sibuk di tempat kerja
(xi) Melontarkan makanan yang dimasak oleh isteri ke luar tingkap dapur
(xii) Enggan makan bersama suami
(xiii) Mempunyai perempuan simpanan / mistress
(xiv) Melayan ustaz / lelaki lain
(xv) Menyatakan pasangan adalah “dayus”, “nusyuz” atau lain-lain perkataan yang kasar walaupun ia boleh menimbulkan kesan undang-undang
(xvi) Mencemuh atau memalukan pasangan semata-mata (tertakluk kepada fakta)
(xvii) Menyatakan perkara-perkara kesat terhadap pasangan semata-mata
(xviii) Merotan anak (dengan kekuatan yang munasabah dan dengan tujuan pengajaran dan bukan untuk melepaskan geram)
(xix) Mengugut atau menyatakan ingin bercerai dengan pasangan, walaupun perbuatan sedemikian boleh mendatangkan tekanan psikologi
(xx) Sengaja boros dan menghabiskan wang pasangan semata-mata
(xxi) Menghalang pasangan daripada berjumpa atau berhubung dengan ibubapanya
(xxii) Sikap “Queen Control”, sikap selalu mengherdik suami, “Henpecking” semata-mata.
(xxiii) Sikap terlalu dominan terhadap isteri, “Domineering Husband”
(xxiv) Mengabaikan pendidikan anak-anak (bergantung kepada undang-undang berkaitan)
(xxv) Mengabaikan keperluan orang-orang tua (bergantung kepada undang-undang berkaitan dan fakta)
(xxvi) Memalukan pasangan di sosial media (namun boleh terjumlah kepada keganasan rumahtangga di bawah Akta mengikut konteks tertentu)
(xxvii) Menghalang pasangan daripada menyertai kegiatan politik / sosial
(xxviii) Menyembunyikan pasangan daripada diketahui ramai bahawa telah berkahwin
(xxix) Menyembunyikan anak tidak sahtaraf atau menafikan status tak sahtaraf anak (tertakluk kepada fakta dan kesan psikologi)
(xxx) Mengeluarkan anda daripada wasiat, terutamanya dalam wasiat bukan Islam.
Perlakuan yang disenaraian di atas hanyalah sebagai contoh. Pihak berkuasa dan/atau Mahkamah masih boleh membuat dapatan bahawa perbuatannya adalah suatu keganasan rumahtangga tertakluk kepada penilaian terhadap fakta kes yang dikemukakan.
Sekiranya pihak berkuasa / Mahkamah tidak mendapati ia terjumlah kepada keganasan rumahtangga, ia tidak menafikan kemungkinan ia boleh diambil tindakan di bawah undang-undang jenayah yang lain atau undang-undang sivil.
PENINDASAN
Ini merupakan lain-lain jenis penindasan yang boleh dilihat sebagai keganasan rumahtangga, tertakluk kepada fakta-fakta khusus kepada kes anda. Faktor penting ialah niat curang / niat jahat pesalah.
Penindasan Ekonomi
i. Penindasan dari segi pengurusan syarikat milik suami isteri. Memecat staf dan menjejaskan perniagaan dengan niat curang. Saya pernah menasihatkan 2 kes wanita yang menghadapi penindasan seperti ini — kedua-duanya berkerjaya, menerajui perniagaan masing-masing tetapi (bekas) suami masing-masing yang terlibat dalam perniagaan sebagai pengarah / pemegang syer telah mensabotaj operasi syarikat mereka.
ii. Dengan niat curang, sengaja mengutamakan perniagaan lain atau menggunakan harta perniagaan milik suami isteri untuk manfaat perniagaan lain.
iii. Mengeluarkan wang syarikat dengan niat jahat bagi menjatuhkan kedudukan kewangan syarikat milik bersama.
iv. Menafikan pasangan daripada menggunakan harta milik bersama seperti rumah atau kereta. Ini adalah suatu jenis penindasan yang lazim ditemui kerana dilihat sebagai antara cara satu pihak menguasai dan menyekat pihak yang satu lagi.
Lain-Lain
i. Mengganggu masa depan bekas pasangan untuk berkahwin.
ii. Campurtangan dalam hal dalaman keluarga bekas pasangan dengan niat untuk memberikan tekanan psikologi atau mengaibkan keluarga tersebut. Pernah jumpa kes seperti ini tetapi tiada tindakan diambil.
SIAPAKAH PIHAK-PIHAK YANG BOLEH MEMBANTU ANDA DALAM KERANGKA UNDANG-UNDANG KEGANASAN RUMAHTANGGA?
i. JKM
ii. PDRM
iii. NGO
iv. Peguam
Lain-lain pihak yang boleh memberikan bantuan sokongan:
i. Kaunselor
ii. Pakar Kanak-Kanak
iii. Perunding Mediasi / Perunding Keluarga
Penulisan ini tidak menafikan peranan komuniti atau keluarga dalam mempertahankan keselamatan dan mengalakkan kesejahteraan institusi keluarga. Ulasan di atas ditumpukan kepada aspek bantuan sokongan professional atau institusi. Golongan yang dihormati di dalam masyarakat seperti ketua kariah di Masjid dan lain-lain rumah ibadat, Ketua Kampung, dan lain-lain pihak juga boleh membantu di dalam skop dan kemampuan masing-masing. Pada pandangan saya, 4 pihak-pihak profesional yang disenaraikan di atas boleh diutamakan kerana mereka mempunyai latihan yang khusus dalam menangani krisis, pengalaman, punca kuasa dan mandat untuk bertindak dalam masalah keganasan rumahtangga. Ini juga tidak menafikan kemampuan lain-lain pihak yang juga boleh meredakan keadaan melalui rundingan tidak formal.
Dalam banyak kes, sebarang permasalahan dilihat sebagai permasalahan persendirian dalam rumahtangga yang boleh diselesaikan dengan saksama tanpa melibatkan agensi kerajaan atau Peguam. Anda diingatkan bahawa anda berhak untuk memilih jalan penyelesaian kepada masalah rumahtangga anda. Tiada paksaan untuk mengutamakan rujukan kepada agensi kerajaan, NGO atau Peguam, atau kepada keluarga/komuniti/ustaz/lain-lain kumpulan kemasyarakatan.
Dalam penulisan ini, saya mengambil pendekatan tegas untuk tidak berkompromi dalam persoalan keganasan rumahtangga. Itu pendirian saya. Saya telah melihat banyak kes keganasan rumahtangga berulang-ulang, berlaku kepada mangsa daripada pelbagai lapisan masyarakat. Semua bangsa, agama saya dah lihat. Termasuklah golongan elit, expatriate dan berpelajaran dengan golongan yang sederhana. Mangsa tidak dapat keluar daripada permasalahannya disebabkan pelbagai faktor, seperti terlalu takut pasangannya akan mencederakannya lebih teruk, kerana mangsa berasa terikat dengan anak-anak, menjejaskan reputasi keluarga, menjejaskan berjaya, mangsa ditekan dengan kekangan kewangan, mangsa bimbang tindakannya akan memarakkan politik keluarga, dan lain-lain.
Yang penting ialah langkah pertama ke hadapan hendaklah diambil oleh anda dengan kerelaan sendiri.
BOLEHKAH SAYA MEMBUAT LAPORAN POLIS SENDIRI TANPA MERUJUK NGO, JKM ATAU PEGUAM?
Boleh.
BAGAIMANAKAH ANDA MENGETAHUI SAMA ADA PERLUNYA MEMBUAT LAPORAN POLIS BERKENAAN SUATU KEJADIAN KEGANASAN RUMAHTANGGA?
Selagi anda berdiam diri, Polis tidak dapat bertindak dan keganasan mungkin akan diteruskan oleh pesalah terhadap anda. Kerana, kebanyakan pesalah memang takut bermalam di lokap. Tujuan penulisan ini bukan untuk memberikan anda sebab untuk membuat laporan. Anda perlu membuat penilaian sendiri dan bertanggungjawab atas hak dan masa depan anda.
Badan berwajib seperti pihak JKM dan Polis hanya boleh bertindak apabila laporan diterima oleh mereka berkenaan insiden keganasan rumahtangga terhadap anda. Untuk JKM, laporan polis tidak wajib tetapi mereka mungkin akan menasihatkan anda untuk membuat laporan polis. Bagi polis, laporan di bawah Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah memang diwajibkan dan anda akan bertanggungjawab atas laporan tersebut.
Sebagai penjelasan, anda boleh bertanya atau melaporkan kejadian kepada NGO, JKM, dan Peguam tanpa membimbang akan implikasi laporan anda. JKM dan NGO boleh membantu menguruskan hal pengurusan harian anda seperti menyediakan penginapan kecemasan sementara di rumah perlindungan yang rahsia, dan sebagainya.
Pegawai JKM juga mempunyai kuasa di bawah Seksyen 3A Akta Keganasan Rumahtangga 1994 untuk mengeluarkan Perintah Perlindungan Sementara tanpa perlu pergi ke Mahkamah.
Tetapi untuk laporan polis, anda tidak dapat elakkan kalau terdapat kesan undang-undang selepas itu iaitu polis akan menyoalsiasat anda dan saksi-saksi, polis boleh menyerbu rumah anda dan menangkap pesalah. Polis boleh menjalankan penyiasatan dan mengangkat kertas siasatan ke perhatian Timbalan Pendakwa Raya yang boleh menuduh pesalah di Mahkamah.
ANDA TAKUT MEMBUAT LAPORAN KEPADA JKM / POLIS KERANA TAKUT POLIS AKAN MENANGKAP SUAMI ANDA?
Jika anda bimbang bahawa JKM atau Polis akan mengambil tindakan yang terlalu keras (misalnya, anda bimbang Polis akan menangkap suami anda) dan memalukan keluarga, anda boleh mengadu kepada Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
NGO mempunyai pasukan sukarelawan yang terlatih dalam mendengar aduan anda dan menasihatkan anda selanjutnya, tanpa semestinya aduan anda diangkat ke perhatian JKM atau Polis. NGO juga memahami dilema-dilema yang anda menghadapi seperti kebergantungan anda kepada suami, penjagaan dan persekolahan anak, kedudukan kewangan anda, dan sebagainya.
JANGAN SALAHGUNAKAN KEPERCAYAAN NGO
Sila ambil maklum, NGO bersifat non-profit dan kebanyakan kakitangan di pusat krisis mereka adalah sukarelawan. Jangan mengambil kesempatan atas perkhidmatan dan jasa baik mereka. Jangan gunakan nama baik NGO berkenaan untuk meraih simpati atau mendapatkan publisiti. Saya percaya hampir semua pengadu yang mendapatkan khidmat NGO adalah mangsa. Bagaimanapun saya maklum terdapat segelintir amat kecil kes-kes yang mana mangsa menyalahgunakan khidmat baik mereka. Walaupun kami bersimpati dengan keadaan anda dan ingin membantu, namun:
n Jangan menuntut perkara-perkara yang di luar kemampuan NGO atau melanggar undang-undang atau kod etika NGO.
n Jangan memberikan arahan kepada NGO.
n Anda tidak dipaksa oleh NGO untuk mendengar cakap mereka. Kalau anda tidak bersetuju dengan NGO tersebut, sila tarik diri dan cari tempat lain untuk mengadu / mendapat perlindungan.
n Jangan mengharapkan NGO untuk menjadi wakil atau pengantara antara anda dengan pesalah.
NGO mempunyai hubungan rapat dengan pihak JKM dan pihak Polis sebagai rakan usahasama dalam rangkaian anti-keganasan rumahtangga.
MELAPOR KEPADA POLIS : ADAKAH POLIS AKAN MENANGKAP SUAMI ANDA?
Polis mempunyai pasukan yang terlatih dan berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes seperti kes anda. Kes-kes keganasan rumahtangga akan dirujuk kepada Pegawai Penyiasat daripada bahagian siasatan jenayah di Ibupejabat Polis Daerah. Mereka bertindak atas kuasa dan budibicara yang diberikan oleh undang-undang. Maksudnya, sekiranya Polis memutuskan untuk melakukan tangkapan terhadap suami anda, anda tidak boleh “reverse” atau menukar pengaduan. Anda boleh merayu untuk Polis tidak menangkap suami anda atau memohon untuk menarik balik kes, atau anda juga boleh membuat laporan polis yang membetulkan laporan yang asal. Tetapi ini semua tidak menghalang Polis untuk menangkap suami and jika mereka mendapati terdapat asas untuk bertindak sedemikian. Pada masa yang sama, anda tidak boleh memaksa Polis untuk menangkap pesalah jika Polis berpandangan tiada keperluan untuk menangkapnya. Sepatutnya perlindungan anda diperturunkan sebagai Perintah Perlindungan Kecemasan, Perintah Perlindungan Interim dan Perintah Perlindungan. Sila dapatkan nasihat Peguam dalam hal ini.
Saya pernah dilantik oleh seorang wanita yang merupakan mangsa keganasan rumahtangga. Beliau melantik saya untuk membela suaminya yang dituduh kerana mencederakan wanita tersebut. Selepas mendapatkan jamin (suaminya seorang warga asing), saya telah menulis surat rayuan (dipanggil “Surat Representasi”) kepada Jabatan Peguam Negara bagi memohon pertuduhan ditarik balik kerana mangsa dan Tertuduh telah berdamai dan ingin meneruskan kehidupan sebagai suami isteri. Alhamdulillah, Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk menggugurkan pertuduhan dan seterusnya Mahkamah memerintahkan suami mangsa dilepaskan tanpa dibebaskan.
Bagi mangsa tersebut saya berharap keadaannya bertambah baik. Yang sedihnya, ini kes berulang.
APAKAH AKAN BERLAKU KEPADA MANGSA DAN PESALAH APABILA ANDA MELAPORKAN KEJADIAN KEGANASAN RUMAHTANGGA KEPADA POLIS?
1. Laporan polis anda hendaklah mengandungi segala butir-butir kejadian keganasan rumahtangga yang berlaku terhadap anda. Anda boleh memasukkan fakta-fakta berikut dibutirkan:
· Tarikh dan tempat kejadian.
· Nama saksi yang berada di tempat kejadian bersama anda.
· Perbuatan pesalah dan kecederaan yang dialami.
Nota: Anda tidak perlu memasukkan semua fakta kes ke dalam laporan polis. Laporan polis hanya memerlukan butir-butir asas untuk membolehkan polis memulakan kes. Cuma fakta seperti perbuatan pesalah dan kecederaan serta nama saksi yang berada di tempat kejadian adalah fakta yang penting sekali. Jika anda tidak menamakan saksi, misalnya, peguambela boleh berhujah bahawa itu merupakan peninggalan yang material. Ini tertakluk kepada pertimbangan Mahkamah nanti.
2. Anda akan dirujuk oleh Balai Polis ke Pegawai Penyiasat Jenayah (“IO”) yang bertugas pada tarikh berkenaan. IO menjawab kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah yang mengetuai para IO dalam Bahagian Siasatan Jenayah di Ibupejabat Polis Daerah.
3. Anda tidak boleh memilih IO. Kadang-kadang anda akan mendapat IO lelaki, kadang-kadang anda mendapat IO wanita. Kadang-kadang anda mendapat IO Sarjan lama-lama yang berpengalaman, kadang-kadang anda mendapat IO Inspektor yang masih muda dan seperti baru dalam perkhidmatan. Jangan terlalu fikirkan perkara ini : Semua IO mempunyai kuasa polis di bawah Akta Polis dan Kanun Tatacara Jenayah dan semuanya menjawab kepada penyelia yang merupakan pegawai kanan dalam Bahagian berkenaan.
4. Lazimnya, kes-kes keganasan rumahtangga akan disiasat oleh unit keganasan rumahtangga dan seksual di dalam sesebuah Bahagian Siasatan Jenayah. Daripada pengamatan saya, sebahagian ramai IO dari unit tersebut adalah IO wanita.
5. IO akan menemubual anda dengan merujuk kepada laporan polis anda. Disebabkan tugasan IO yang banyak pada tarikh gilirannya, mungkin anda perlu menunggu sehingga beberapa jam sebelum dapat berjumpa dengan IO.
6. Jangan terkejut kalau IO memaklumkan bahawa pesalah telah membuat laporan polis sebelum anda. Dalam pengalaman saya, adalah perkara biasa bahawa IO yang sama akan melihat dan bertindak atas laporan-laporan yang dibuat oleh kedua-dua pihak.
7. Tugas IO pada peringkat ini adalah untuk mengenalpasti kewujudan asas kes di dalam laporan polis anda. Jika tiada asas kes, beliau boleh mengesyorkan supaya kes anda dirujuk ke Majistret (RTM). IO tidak boleh membuat keputusan NFA atau tutup kes.
8. Pada peringkat awal ini, adalah amat penting anda memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak menyembunyikan fakta. Ceritakan seluruh kronologi kejadian.
9. Percakapan anda akan dirakam oleh IO atau seorang pegawai polis lain yang dikenali sebagai Pegawai Perakam. PASTIKAN anda membaca semula percakapan yang ditulis / ditaip sebelum menandatanganinya.
10. Peringatan Mesra: Memberi kenyataan palsu di dalam Laporan Polis atau di dalam percakapan kepada polis merupakan kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh mendedahkan anda kepada hukuman penjara.
JANGAN MELAKUKAN PERKARA INI SEKIRANYA ANDA MANGSA KEGANASAN RUMAHTANGGA
1. Membiarkan pesalah mendera anda secara fizikal atau mental secara berulang-ulang.
2. Membiarkan pesalah mendera anak atau ibubapa anda.
3. Melewat-lewatkan laporan polis atas alasan tidak ingin mengganggu keharmonian keluarga. Pelbagai kajian dalam bidang kriminologi di seluruh dunia menunjukkan bahawa keharmonian keluarga adalah alasan yang kerap digunakan untuk mangsa sendiri, pesalah, keluarga mangsa dan keluarga pesalah menutup kes. Anggapannya, keharmonian keluarga perlu diutamakan demi anak-anak, maruah keluarga dan untuk memberikan pesalah peluang untuk membaiki diri. Banyak kes bunuh, sumbang mahram, dan penderaan boleh dielakkan jika mangsa atau lain-lain orang dewasa dalam keluarga melaporkan kejadian lebih awal dan tidak membiarkan permasalahan ditutup demi konsep keharmonian keluarga.
4. Melewat-lewatkan laporan polis atas alasan terlalu sibuk. Saya pernah mengendalikan kes cabul kanak-kanak di mana antara alasan diberikan oleh ibu mangsa mengapa lewat merujuk anak beliau ke doktor adalah kerana ibu tersebut merupakan penganalisa maklumat yang terlalu sibuk. Dalam pemeriksaan balas, beliau bersetuju dengan cadangan saya bahawa jika beliau sendiri yang dicabul, beliau akan membuat laporan polis dengan serta merta.
5. Melewat-lewatkan laporan polis atas alasan ingin setel dengan keluarga pesalah. Tahukah anda, pesalah atau keluarganya boleh membuat laporan polis tanpa pengetahuan anda, apabila rundingan sedang berjalan untuk setel? Akhir-akhirnya apabila anda bersedia untuk membuat laporan polis, didapati IO yang memanggil anda dulu, kerana naratif kejadian telah terlebih dahulu dipenuhi dengan penceritaan pesalah dan keluarganya. Malah, usaha anda untuk setel kes termasuklah permintaan dan tawaran boleh digunakan oleh mereka sebagai hujah mendakwa anda memeras ugut mereka. Saya pernah menyaksikannya dalam salah sebuah perbicaraan di Mahkamah.
6. Melewat-lewatkan laporan polis atas alasan bahawa ingin memberikan pesalah peluang kedua, ketiga, keempat, kelima dan sebagainya. Dan kerana anda mencintakannya dan ingin beliau memperbaiki diri. Jika ini alasan anda, sila buang / delete artikel ini dan tidak perlu terus membaca. Nasihat saya, jika anda ingin membakar diri dengan kejadian-kejadian penderaan tersebut, terpulanglah. Adakah anda telah fikirkan kesan keputusan anda kepada anak-anak yang boleh menjejaskan perkembangan mereka selama-lamanya?
7. Melewat-lewatkan laporan polis kerana bimbang akan berlaku perceraian dan ia akan memudaratkan masa depan anak. Untuk makluman, tiada kaitan antara perceraian dengan membuat laporan polis. Melainkan anda (wanita) ingin membuat permohonan fasakh. Itupun pilihan anda (jika wanita). Jika anda bimbang pesalah (lelaki) akan menceraikan anda semata-mata kerana anda membuat laporan polis (yang benar dan bukan palsu), saya minta anda fikir-fikirkanlah apakah keutamaan anda dalam hidup. Jika anda mempunyai cahaya mata, adakah tindakan anda (atau kegagalan untuk bertindak) pilihan terbaik di mana ia mendedahkan anak-anak kepada persekitaran toksik di rumah.
8. Kerana anak-anak menyayangi ayah, dan anak-anak ingin melihat mak ayah bersama. Membuat laporan polis tidak menafikan perkara ini. Terdapat juga ramai pasangan yang telah menjadi lebih harmoni selepas tindakan diambil.
9. Melewat-lewatkan kes kerana ingin mengugut suami untuk memberikan anda apa yang anda mahu (wang dan sebagainya), jika tidak anda akan mengambil tindakan undang-undang. Pada pandangan saya ini salah dan saya tidak menyokongnya. Pandangan saya seperti pada isu ingin setel kes di atas.
10. Melewatkan membuat laporan polis kerana ingin cuba mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki pesalah tanpa mengambil tindakan dengan pihak berkuasa. Jika anda bimbang polis akan menangkap suami anda, anda tidak semestinya perlu terus membuat laporan polis. Anda boleh rujuk NGO untuk mendapatkan bantuan sokongan mereka. NGO tidak akan menangkap suami anda dan NGO tidak akan memaksa anda untuk mengambil tindakan terhadap suami anda. Mungkinkah NGO juga yang akan menasihatkan anda untuk tidak mengambil tindakan undang-undang, mengikut kesesuaian kes anda.
11. Membuat laporan palsu. Menokok-nambah fakta untuk memburukkan pesalah atau untuk meyakinkan pihak berkuasa supaya menangkap pesalah.
12. Membuat laporan yang terlalu panjang dengan terlalu banyak detail. Sebenarnya laporan yang terlalu panjang memberikan lebih banyak peluru untuk digunakan oleh peguambela untuk “menembak” kes anda nanti.
13. “Menarik balik” laporan polis atau cuba setel di luar mahkamah atau di samping penyiasatan polis. Dapatkan nasihat Peguam atau NGO yang benar-benar berpengalaman dalam isu ini kerana isu ini agak sensitif. Tertakluk kepada fakta kes, dalam keadaan tertentu, pihak yang ingin mengambil kesempatan terhadap anda boleh memperlihatkan tindakan anda ingin menarik balik laporan polis sebagai sebahagian daripada pemerasan atau lain-lain tindakan yang boleh disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.
14. Menerima panggilan telefon daripada pesalah tanpa merekodkan bukti panggilan dan mesej. Sekiranya perbualan telefon atau mesej daripada pesalah mengandungi ancaman yang jelas , ia boleh membantu anda dalam proses mendapatkan perintah perlindungan dan membantu siasatan polis, pertimbangan DPP dan Mahkamah (dalam soal jamin mahkamah).
15. Merosakkan / mencuri harta pesalah.
16. Mencederakan pesalah, kecuali dalam mempertahankan hak membela diri di bawah Seksyen 81 Kanun Keseksaan. Kanun yang sama membenarkan anda (jika anda seorang wanita) mencederakan pesalah yang cuba memperkosa atau merogol anda. Sila ambil perhatian bahawa undang-undang tidak mengiktiraf rogol antara pasangan suami dan isteri. Undang-undang membolehkan wanita membunuh lelaki dalam usaha untuk mempertahankan dirinya daripada dirogol. Saya tidak hairan sekiranya mangsa yang membunuh perogol mungkin akan ditahan dalam reman sementara polis menyiasat kes.
17. Melarikan anak, terutamanya jika pesalah ialah penjaga utama kepada anak dan pesalah tidak merbahayakan anak. Jika anda terbukti pernah melarikan anak, ia boleh membawa kesan kepada sebarang pertikaian berkenaan hak jagaan anak-anak, tertakluk kepada fakta kes dan undang-undang yang terpakai.
18. Menghebahkan kejadian kepada orang awam dan media sosial. Sila fokuskan kepada kes anda dulu.
19. Membuat sidang media. Sila fokuskan kepada kes anda dulu.
TANGGUNGJAWAB PEGAWAI JKM DAN PEGAWAI POLIS
1. Membantu anda untuk membuat permohonan ke Mahkamah untuk mendapatkan IPO.
2. Menyediakan pengangkutan untuk membawa anda ke kediaman alternatif, tempat selamat atau rumah perlindungan.
3. Menyediakan pengangkutan untuk membawa anda ke hospital atau lain-lain pusat perubatan untuk rawatan kecederaan.
4. Menjelaskan kepada anda hak untuk dilindungi daripada keganasan rumahtangga.
5. Menemani anda ke kediaman anda (atau kediaman yang anda telah tinggalkan) untuk mendapatkan barang peribadi anda.
TANGGUNGJAWAB TAMBAHAN PEGAWAI POLIS
1. Menangkap pesalah.
2. Mengeluarkan pesalah daripada kediaman anda jika diperintahkan oleh Mahkamah di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Keganasan Rumahtangga 1994.
3. Memaklumkan anda status penyiasatan kes.
4. Memaklumkan anda status permohonan untuk mendapatkan IPO atau PO, termasuklah penyampaian Perintah Perlindungan tersebut, dan tarikh-tarikh Mahkamah berkaitan dengan permohonan-permohonan tersebut.
POLIS TIDAK MEMBENARKAN SAYA MEMBUAT LAPORAN POLIS
Sekiranya Polis tidak membenarkan anda membuat laporan polis, sila terus buat aduan kepada Ketua Polis Daerah. Dapatkan bantuan Peguam atau NGO dalam perkara ini. Seksyen 114 Kanun Tatacara Jenayah melarang polis daripada menghalang anda daripada membuat laporan polis. Seksyen 107(1) Kanun yang sama juga mewajibkan pihak polis untuk menurunkan pengaduan ada kes dalam bentuk bertulis dan untuk membacakannya balik kepada anda.
POLIS TIDAK MAHU MENYIASAT KES SAYA ATAU MELEKEHKAN LAPORAN SAYA
Sekiranya IO tidak mahu menyiasat kes anda atau melekehkan dakwaan anda, sila terus buat aduan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah. Dapatkan bantuan Peguam atau NGO dalam perkara ini. Jangan bergaduh dengan IO dan jangan menghebahkan sikap IO di media sosial. Sila bersabar dan ikut prosidur dan hak anda yang diberikan oleh undang-undang.
POLIS TELAH MELEPASKAN PESALAH
Polis tidak wajib untuk menangkap pesalah dalam setiap kes. Kuasa menangkap polis juga termasuklah budibicara untuk menangkap atau tidak menangkap.
Jangan terlalu cepat menuduh polis mengambil rasuah atau tidak cukup empati sekiranya polis tidak menangkap pesalah. Saya mengulangi : Penangkapan adalah optional. Polis boleh memanggil pesalah ke pejabat mereka untuk ditemubual dan diambil rakaman percakapan.
Selepas melaksanakan tangkapan (jika tangkapan dilaksanakan), Polis juga mempunyai kuasa untuk melepaskan pesalah dengan jamin – tertakluk kepada persoalan sama ada Mahkamah telah memperturunkan kuasa tangkapan kepada Perintah Perlindungan. Jika pesalah telah ditangkap kerana melanggar Perintah Perlindungan yang mempunyai kuasa tangkap, maka pesalah tidak boleh dilepaskan oleh polis melainkan dengan arahan Mahkamah (Seksyen 7(3)(b) Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dirujuk). Isu jamin mulut / jamin polis adalah di luar skop penulisan ini.
Berkenaan isu jamin polis. Saya pernah mengendalikan kes keganasan rumahtangga di mana anakguam telah ditangkap oleh polis dan bermalam dalam lokap. Pihak Polis tidak memohon perlanjutan reman. Rakan dalam firma saya (saya tidak hadir perbicaraan di Mahkamah lain ketika itu) telah memohon untuk anakguam dilepaskan serta merta memandangkan tiada niat daripada Polis untuk menyambung reman. Anakguam telah dilepaskan tanpa syarat (iaitu tanpa sebarang jamin dikenakan sebagai syarat untuk dilepaskan) selepas waktu solat Isyak pada malam yang sama. Tiada sebarang pertuduhan dikenakan dan anakguam telah membuat laporan balas terhadap pengadu bahawa pengadu telah membuat laporan palsu terhadap beliau
ANDA BIMBANG PESALAH AKAN MENCEDERAKAN ANDA KERANA POLIS TIDAK MENANGKAP
Sila lakukan perkara ini:
1. Dapatkan penjelasan daripada IO mengapa pesalah tidak ditangkap.
2. Mohon IO untuk memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) serta merta pada hari yang sama.
3. Pastikan permohonan IO mengandungi butir-butir yang tepat termasuklah alamat penyampaian.
4. Anda perlu mengikuti perkembangan IPO ini. Jangan serahkan sepenuhnya kepada IO.
5. Pastikan IPO diserahkan dan bukti penyerahan diperolehi. Penyerahan dilakukan oleh Polis atau lain-lain orang yang diarahkan oleh Mahkamah.
Kalau IO lambat bertindak atau tidak “mendapatkan” IPO untuk anda, sila ambil tindakan berikut:
1. Bawa perkara ini ke perhatian Ketua Bahagian Siasatan Jenayah
2. Dapatkan bantuan NGO
3. Dapatkan bantuan JKM
4. Lantik Peguam
5. Buat sendiri (diteruskan di bawah).
ANDA SENDIRI BOLEH MENDAPATKAN PERINTAH PERLINDUNGAN SEMENTARA
1. Sila sediakan:
a. Kad Pengenalan
b. Laporan Polis
c. MyKid / Sijil Kelahiran anak-anak yang memerlukan perlindungan
d. Bukti tempat kerja
e. Bukti sekolah anak
(Jangan risau sangat kalau dokumen tidak cukup. Anda jumpa pegawai Mahkamah dulu. Kalau sempat, sediakan fotostat semua dokumen di atas)
2. Pergi ke Kaunter Pendaftaran Jenayah di Mahkamah Majistret yang paling hampir dengan rumah anda. Jangan hebahkan di sosial media. Jika anda bimbang keselamatan diri, anda boleh menumpang kenderaan lain untuk elakkan pergerakan anda dikesan. Sila buat panggilan telefon ke Mahkamah sebelum pergi, untuk memastikan mereka boleh melayan permohonan anda. Ini kerana, terdapat Mahkamah yang kaunter pendaftaran jenayah dan kaunter pendaftaran sivil di tempat berlainan.
3. Maklumkan kepada kakitangan Mahkamah di Kaunter bahawa anda ingin membuat permohonan untuk Perintah Perlindungan Sementara / Perintah Perlindungan. Mahkamah akan melihat Laporan Polis anda dan mungkin akan bertanya berkenaan tindakan IO. Anda boleh merayu bahawa anda terpaksa buat sendiri kerana IO / JKM tidak mengambil tindakan. Kadang-kadang, kakitangan Mahkamah akan membuat panggilan telefon ke IO/JKM untuk mendapat pengesahan.
4. Mahkamah mempunyai borang-borang yang boleh diisi oleh anda untuk memohon suatu IPO atau PO dikeluarkan. Sepatutnya, apabila permohonan anda difailkan (sama ada melalui anda sendiri atau JKM atau Peguam), anda akan selanjutnya diperiksa oleh Majistret. Pemeriksaan boleh dijalankan di kaunter pendaftaran, atau di dewan bicara, atau di dalam kamar Majistret.
5. Peringatan : Segala borang yang diisi oleh anda untuk tujuan permohonan Perintah Perlindungan akan dibuka fail baru dan diberikan nombor kes. Pihak pesalah, polis, DPP dan sesiapa yang berkepentingan boleh memohon untuk menyemak fail tersebut dan kandungannya. Jika didapati anda telah memberikan maklumat tidak tepat atau palsu atau menyembunyikan fakta, mana-mana pihak yang berkepentingan boleh memohon kepada Mahkamah untuk meminda Perintah Perlindungan atau paling ekstrim untuk membatalkannya. Lebih ekstrim, mereka boleh mengambil tindakan terhadap anda kerana memberikan maklumat palsu (jika terdapat maklumat palsu) kepada Mahkamah.
6. Sekiranya kakitangan Mahkamah tidak dapat memberikan anda bantuan, sila mohon untuk berjumpa dengan Majistret atau Hakim Sesyen. Sekiranya kakitangan Mahkamah masih tidak memberi laluan kepada anda, anda boleh cuba mencari Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang bertugas di mana-mana bilik bicara dalam bangunan mahkamah dan membawa perhatian mereka kepada pengaduan anda. DPP tidak wajib membantu anda dalam keadaan sedemikian – bagaimanapun saya percaya kebanyakan DPP yang kebetulan berada di bangunan Mahkamah, yang baru selesai tugasan mereka atau berlegar-legar menunggu sambung bicara, akan membantu anda sebagai pemudahcara. Mungkin anda boleh sebut kepada mereka “Seksyen 128(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah” – saya belum mencuba peruntukan tersebut.
MEMBUKA BALIK KES YANG TELAH SEJUK
Sekiranya anda telah membuat laporan polis tetapi setelah suatu tempoh masa yang lama berlalu, anda masih tidak mendapat sebarang makluman daripada IO, anda boleh menulis surat kepada pihak polis untuk mendapat maklumbalas status kes di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah. Ini merujuk kepada kes keganasan rumahtangga utama (lazimnya disiasat di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan) Sila rujuk penulisan saya untuk panduan mendapatkan maklumbalas perkembangan siasatan.
Bagaimanapun, IO mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan kepada anda status permohonan dan penyampaian Perintah Perlindungan, tanpa perlunya anda menulis surat kepada mereka untuk bertanyakan status. Laporan status berkaitan Perintah Perlindungan berbeza dariapda laporan status kes jenayah utama yang disiasat Kanun Keseksaan).
Sekiranya anda mendapat keputusan NFA (No Further Action), anda boleh menulis surat kepada Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya kertas siasatan dikaji semula.
PERINTAH INJUNKSI MAHKAMAH
1. Mahkamah Sivil dan Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang pesalah daripada menggangu anda dan lain-lain relif.
2. Bidangkuasa Mahkamah Sivil adalah lebih luas kerana perintah injunksi boleh diberikan terhadap pesalah untuk pelbagai jenis salahlaku termasuklah fitnah dan perlakuan-perlakuan yang disifatkan sebagai keganasan rumahtangga.
3. Manakala Bidangkuasa Mahkamah Syariah ditumpukan kepada halperkara di dalam bidangkuasa mal di bawah Enakmen Syariah Mal di setiap negeri masing-masing.
4. Sekiranya pesalah melanggar perintah injunksi, beliau boleh diambil tindakan komital di bawah prosiding menghina mahkamah.
5. Perintah Injunksi dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil dan Syariah untuk pelbagai jenis kes dan bukan sahaja kes melibatkan keganasan rumahtangga. Bagaimanapun, Injunksi boleh membantu menguruskan risiko kes cerai, hadhanah dan lain-lain yang mempunyai ciri-ciri keganasan rumahtangga.
6. Saya melihat peranan Injunksi dalam konteks ini sebagai pelengkap dan alat sokongan. Ia bukanlah menyelesaikan ancaman keganasan rumahtangga terhadap anda. Lazimnya injunksi Mahkamah diperintahkan bagi melindungi anda sementara lain-lain prosiding utama diselesaikan, seperti perceraian, hak jagaan anak-anak dan lain-lain.
7. Berbeza dengan Perintah Perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994, perintah injunksi lebih “flexible” dan boleh disesuaikan mengikut budibicara Mahkamah dari segi syarat-syarat dan tempoh hidup. Misalnya, injunksi mampu berkuatkuasa selama-lamanya (“permanent injunction”) atau sekurang-kurangnya sepanjang tempoh kes. Ini merupakan kelebihan mengatasi PO yang mempunyai had masa 12 bulan dan boleh dilanjutkan sekali sahaja selama 12 bulan dari tarikh pertuduhan difailkan.
8. Saya tidak pasti sama ada Mahkamah Sivil atau Syariah terbuka untuk mengeluarkan perintah injunksi sekiranya telahpun wujud Perintah Perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Jika saya mewakili pihak Defendan, saya mungkin akan mempertimbangkan kesesuaian untuk membantah suatu permohonan untuk Perintah Injunksi dengan mengambilkira bahawa terdapat suatu Perintah Perlindungan yang berkuatkuasa terhadap saya.
9. Dalam jadual di bawah ialah beberapa pandangan peribadi saya yang merupakan penilaian umum berkenaan isu ini. Saya mengulangi bahawa Perintah Injunksi ialah pelengkap dan tidak boleh dibandingkan dengan Perintah Perlindungan seperti lawan. Mereka mempunyai kelebihan, matlamat dan undang-undang masing-masing. Didapati Perintah Injunksi Mahkamah mempunyai kelebihan dari segi menyekat pesalah daripada melarikan harta anda.
TUNTUTAN GANTIRUGI
Seksyen 10 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 memberi kuasa kepada Mahkamah sivil untuk memerintahkan supaya pesalah membayar pampasan kepada anda jika didapati bahawa beliau telah menggunakan keganasan rumahtangga terhadap anda, harta anda atau menyebabkan anda mengalamai lain-lain kerugian kewangan. Antara perkara yang boleh diambil kira oleh Mahkamah sivil dalam memerintahkan bentuk dan jumlah pampasan seperti berikut:
o kesakitan dan penderitaan mangsa, dan jenis dan takat kecederaan fizikal atau penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi yang dialami;
§ kos rawatan perubatan bagi kecederaan itu;
§ apa-apa kehilangan pendapatan yang berbangkit daripadanya;
o amaun atau nilai harta yang diambil atau dimusnahkan atau dirosakkan;
o perbelanjaan perlu dan munasabah yang ditanggung oleh atau bagi pihak mangsa apabila mangsa itu terpaksa berpisah atau dipisahkan daripada defendan oleh kerana keganasan rumah tangga itu, seperti―
§ perbelanjaan penginapan yang disumbangkan kepada tempat selamat atau tempat berlindung;
§ perbelanjaan pengangkutan dan pemindahan;
o perbelanjaan yang dikehendaki untuk berpindah dan mendirikan tempat tinggal yang baru, boleh meliputi amaun yang merupakan pembayaran pinjaman perumahan atau bayaran sewa atau sebahagian daripadanya.
Di samping itu, Mahkamah boleh juga mengambil kira tentang―
(a) kedudukan kewangan mangsa dan pesalah;
(b) perhubungan yang wujud di antara mangsa dan pesalah dan pertimbangan untuk pesalah membuat pembayaran sedemikian;
(c) kemungkinan prosiding lain diambil di antara mangsa dan pesalah dan sama ada prosiding tersebut itu lebih sesuai diambiltindakan dalam kes berasingan (misalnya, di bawah undang-undang perceraian, undang-undang torn, tuntutan hadhanah, tuntutan untuk nafkah, dan lain-lain.
KESAN KEPADA TUNTUTAN CERAI, KES SYARIAH, FASAKH
Kewujudan keganasan rumahtangga boleh memberi kesan terhadap hak anda dalam kes cerai. Kesan sebenar dan implikasinya adalah “situational” bermakna ia bergantung kepada faktor-faktor halkeadaan dan fakta kes. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat peguam syarie yang bertauliah dalam perkara ini.
Antara implikasi yang mungkin:
1. Bukti berlakunya keganasan rumahtangga boleh menyokong permohonan pihak wanita di bawah prosidur undang-undang keluarga Islam untuk mendapatkan perintah Fasakh.
2. Sekiranya Mahkamah Majistret mengeluarkan IPO atau PO terhadap pihak pesalah, ia boleh menafikan hak beliau untuk melawat anak-anak. Ini adalah kerana anak-anak tersebut lazimnya di bawah jagaan salah satu daripada pihak yang terlibat. Kadang-kadang IPO atau PO juga akan menamakan anak-anak sebagai orang yang dilindungi.
3. Sekiranya Mahkmah Syariah memerintahkan hak lawatan atau penjagaan anak diberikan kepada salah seorang daripada bekas pasangan berkenaan, perlaksanaan perintah tersebut boleh diganggu (“frustrated”) sekiranya terdapat IPO atau PO dikeluarkan terhadap bekas pasangan tersebut. Ini adalah kerana pihak Polis menguatkuaskan terma-terma literal di dalam IPO dan PO. Polis tidak terikat dengan perintah Mahkamah Syariah. Sila dapatkan nasihat peguam untuk menyelasaikan permasalahan sedemikian.
4. Kewujudan IPO atau PO boleh dimasukkan ke dalam pliding pihak-pihak dalam kes hadhanah, nusyuz, fasakh atau perceraian. Tujuannya berbeza-beza.
a. Untuk kes hadhanah : Menunjukkan pihak yang diperintahkan IPO atau PO adalah tidak layak untuk mendapatan hak jagaan / mengehadkan hak lawatan kerana terbukti beliau bersikap ganas. Atau sikapnya yang ganas boleh memudaratkan perkembangan emosi anak-anak disebabkan tekanan psikologi ke atas mereka.
b. Untuk kes fasakh : Menyokong dakwaan bahawa suami telah mencederakan isteri.
c. Untuk kes nusyuz : Untuk pihak isteri menyokong pembelaannya bagi menjelaskan bahawa beliau telah lari dari rumah / ingkar hasrat suami disebabkan sikap suami yang ganas.
d. Untuk kes nafkah : Mempunyai kaitan dengan kes nusyuz.
5. Saya pernah mengendalikan suatu kes di mana pihak wanita mengada-adakan kes cedera dan berjaya memujuk polis untuk mendapatkan IPO dan PO bagi motif menjejaskan permohonan hadhanah yang dimulakan oleh pihak lelaki. “Timing” dakwaan cedera adalah selepas permohonan hadhanah dimulakan. Dalam perintah IPO / PO Mahkamah Majistret telah memasukkan nama anak mereka walaupun pemohon / orang yang dilindungi hanyalah pihak wanita. Saya berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk meminda PO untuk mengeluarkan nama anak, atas alasan bahawa tiada bukti bahawa anakguam pernah mendera anak tersebut. Dipercayai nama anak dimasukkan sebagai strategi rundingan (bargaining chip).
6. Saya juga pernah menasihatkan seorang wanita yang trauma dan amat menakuti pihak bekas suami yang terbukti mengancam keselamatannya. Walaupun banita tersebut berjaya mendapat IPO dan PO, namun fakta tersebut tidak diendahkan oleh Mahkamah Sesyen apabila memerintahkan beliau untuk membenarkan bekas suami mengambil anak-anak dari rumah banita tersebut. Sepatutnya dalam konteks keganasan rumahtangga, pihak wanita ingin merahsiakan alamat kediamannya untuk mengelakkan diintip / diekori pihak lelaki yang ganas. Akibatnya, pihak lelaki memfailkan perintah komital terhadap pihak wanita kerana pihak wanita terlalu takut untuk mendedahkan dirinya bagi menyerahkan anak-anak untuk dilawat, manakala pihak polis enggan untuk menguatkuasakan IPO / PO walaupun pihak lelaki telah melanggar IPO/PO dengan mendekati kediaman pihak wanita.
7. Saya pernah mengendalikan suatu kes di mana pihak wanita telah memohon IPO untuk anakguam tidak menghampiri tempat kerja. Kebetulannya, mereka bekerja di tempat yang sama. Saya berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan perintah tersebut.
PEGUAM PENDAMPING
(“Victim Support Counsel” atau “Child Advocate”)
Sebagai mangsa, anda boleh mendapatkan khidmat Peguam untuk membantu anda atau mangsa kanak-kanak:
a. membantu anda menyediakan laporan polis,
b. hadir bersama ketika rakaman percakapan dijalankan oleh IO,
c. menyediakan dan memfailkan permohonan untuk mendapatkan IPO,
d. hadir ketika pemeriksaan Majistret,
e. menyemak IPO/PO bagi memastikan terma-terma di dalam IPO/PO menepati keperluan kes anda dan juga memasukkan kuasa tangkapan ke dalam perintah,
f. membuat permohonan untuk meminta IPO/PO jika terma-terma perlindungan adalah tidak memadai atau tertinggal kuasa tangkapan,
g. penyerahan IPO / PO (jika diperintahkan oleh Mahkamah),
h. hadir sebagai peguam pemerhati apabila pesalah dituduh di Mahkamah, bagi tujuan memohon Mahkamah memperketatkan syarat jamin dan mengemukakan bukti perlakuan dan percakapan Tertuduh yang mengancam keselamatan anda dan anak-anak
i. hadir ke perbicaraan Mahkamah bagi memastikan anda sentiasa maklum akan perkembangan kes
j. menyediakan anda sebelum dipanggil sebagai saksi di Mahkamah
k. menyemak percakapan bertulis anda yang disediakan oleh Pihak Pendakwaan
l. berhubung terus dengan pihak DPP di dalam dewan bicara untuk membantah sekiranya terdapat soalan-soalan yang tidak adil atau tidak relevan dikemukakan oleh peguambela terhadap anda.
m. (dengan izin Mahkamah) hadir ketika sesi rundingan hukuman sekiranya pihak Pendakwaan dan Tertuduh menjalankan rundingan sedemikian di bawah Seksyen 172C dan 172D Kanun Tatacara Jenayah
n. Membantu menyediakan, atau dengan izin Mahkamah, mengemukakan / mempersembahkan pernyataan impak mangsa (“Victim Impact Statement”) di akhir perbicaraan untuk tujuan mendapatkan hukuman lebih berat atau mengelakkan hukuman terlalu ringan dikenakan oleh Mahkamah terhadap pesalah.
o. Mengemukakan surat representasi / rayuan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan di akhir kes sekiranya anda tidak berpuashati terhadap keputusan yang diberikan oleh Mahkamah.
p. Memfailkan permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi sekiranya pihak DPP tidak memfailkan rayuan.
q. Hadir ke pendengaran rayuan, sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
Lain-Lain Perkhidmatan
a. Sekiranya pihak IO memaklumkan anda bahawa keputusan kes ialah “NFA” (“No Further Action”) atau “RTM” (“Refer to Magistrate”):
a. Peguam boleh menyediakan surat untuk merayu kepada DPP untuk mengkaji semula kes berdasarkan alasan keterangan baru atau lain-lain faktor. DPP diberikuasa untuk memutuskan untuk menuduh pesalah, mengarahkan siasatan lanjut atau tidak bertindak (NFA).
b. Peguam juga boleh menyediakan dan memfailkan pengaduan bertulis di bawah Seksyen 128(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk pengaduan anda dibawa ke perhatian Majistret.
Prosidur ini digunakan untuk membantu and jika pihak polis tidak ingin menyiasat kes (“RTM”) atau DPP mendapati tiada kewajaran untuk menuduh pesalah (“NFA”).
Peguam boleh hadir (dengan kebenaran Majistret) bagi membantu Majistret dalam prosiding di bawah Seksyen 133(1)(d) Kanun yang sama – dalam prosiding tersebut, Majistret akan memeriksa anda sama ada di kaunter pendaftaran, di mahkamah terbuka atau di dalam kamar Majistret. Prosiding tersebut dijalankan dengan kehadiran DPP.
Rakan dari firma lama saya pernah menjalankan prosiding sedemikian di mahkamah terbuka tanpa kehadiran anakguam (pengadu) dan tanpa kehadiran DPP.
c. Membuat permohonan ke Polis dan ke Mahkamah di bawah Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah untuk mendapat kembali harta anda yang telah disita / dirampas oleh polis dalam siasatan.
d. Mendapatkan perintah Mahkamah untuk pesalah membayar gantirugi kepada anda. Peguam anda membuat permohonan kepada Pendakwa Raya untuk mendapatkan perintah di bawah Seksyen 426(1A) Kanun Tatacara Jenayah. Syaratnya, Mahkamah hendaklah terlebih dahulu mendapati pesalah bersalah kerana kesalahan yang dipertuduhkan. Pembayaran ini tidak menghalang anda daripada mendapatkan gantirugi melalui tuntutan sivil. Antara faktor-faktor yang dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam memerintahkan gantirugi dibayar oleh pesalah kepada anda adalah disenaraikan di bawah Seksyen 426(1C) Kanun yang sama:
a. Sifat kesalahan yang dipertuduhkan.
b. Kecederaan yang dialami oleh anda. Pada pandangan saya kecederaan yang dimaksudkan termasuk kecederaan psikologi (perlu dibuktikan dengan laporan pakar)
c. Kos dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh anda. Maksud yang saya faham daripada peruntukan tersebut ialah kos perubatan dan terapi.
d. Kerosakan, kerugian atau kehilangan harta anda.
e. Kehilangan pendapatan yang dialami oleh anda disebabkan kesalahan yang disabitkan.
f. Kemampuan Tertuduh untuk membayar.
Peguam boleh membantu Mahkamah dan mewakili anda sekiranya Mahkamah menjalankan suatu inkuiri di bawah Seksyen 426(1D) Kanun Tatacara Jenayah bagi menentukan jumlah gantirugi untuk dibayar kepada anda.
Saya pernah mewakili seorang lelaki yang dituduh kerana mencederakan isterinya dengan menanduk (“headbutt”) menyebabkan hidung mangsa patah. Atas permohonan saya (melalui surat representasi), rundingan hukuman telah dijalankan di dalam kamar Hakim Mahkamah Sesyen dengan kehadiran DPP dan mangsa. Setelah merujuk “Compendium on Personal Injury Awards” iaitu sebuah garispanduan yang dirujuk sebagai panduan untuk menentukan julat gantirugi untuk kes sivil, Hakim Mahkamah Sesyen bersetuju untuk mengenakan hukuman denda sahaja (RM2000) dan memerintahkan lelaki tersebut untuk membayar RM8000 sebagai gantirugi kepada mangsa tersebut. Perintah tersebut dilaksanakan setelah lelaki tersebut mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan. Di Mahkamah terbuka, setelah pengakuan salah dan sabitan direkodkan, Hakim Sesyen telah memerintahkan lelaki tersebut untuk mengemukakan wang gantirugi RM8000. Beliau telah menyerahkan kepada saya suatu sampul kertas bewarna putih yang mengandungi wang tunai RM8000. Kemudian saya telah membilang wang tunai di hadapan semua pihak, helai demi helai. Setelah berpuashati bayarannya cukup, saya menyerahkan wang tunai di dalam sampul tersebut kepada mangsa yang berada di dalam kandang saksi. Wanita tersebut telah mengira wang gantirugi dan kemudian mengesahkan jumlahnya cukup. Oleh itu, anakguam tidak dikenakan hukuman penjara dan wang gantirugi dibayar dengan perintah Mahkamah.
KESIMPULAN
Langkah pertama bermula dengan anda. Anda perlu bertanggungjawab atas pilihan dan langkah selanjutnya demi keselamatan fizikal dan mental anda dan tanggungan anda. Segala institusi sokongan seperti Polis, JKM, NGO dan Peguam hanya sekadar pembolehupaya kepada usaha anda sendiri. Sebenarnya adalah atas anda sendiri untuk memahami keadaan dan keutamaan kehidupan anda. Saya mengalu-alukan mangsa untuk memberi kepercayaan kepada proses undang-undang untuk melindungi diri, tanggungan, dan harta mereka.
Perbincangan lanjut:
ISU KUASA TANGKAPAN DI DALAM SEKSYEN 7 AKTA KEGANASAN RUMAHTANGGA 1994 DAN ANGGAPAN DI BAWAH SEKSYEN 18A AKTA YANG SAMA
Jangan keliru isu Kuasa Tangkapan dengan peruntukan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Seksyen 18A menyatakan bahawa semua kesalahan yang melibatkan keganasan rumahtangga dianggap sebagai kesalahan boleh tangkap. Ini bukan forum yang sesuai untuk membincangkan kesesuaian gaya gubalan yang digunakan, seperti penggunaan perkataan “melibatkan” / “involves” dan perlaksanaan Seksyen 18A di mana telah wujudnya Seksyen 7. Wujudnya Seksyen 7 menunjukkan bahawa terdapat keadaan di mana Mahkamah tidak akan memberikan kuasa menangkap kepada Perintah Perlindungan. Saya suka merujuk prinsip pentafsiran statut, “Parliament does not waste its words”.
Kuasa Tangkapan diberikan kepada 2 jenis Perintah Perlindungan di dalam Akta sahaja. Kuasa Tangkapan tidak diperuntukkan secara langsung untuk EPO. Mungkin ini lebih baik kerana EPO dikeluarkan oleh JKM dan bukan Mahkamah, yang dapat mengawalselia segala permohonan yang difailkan di hadapannya.
Manakala Seksyen 18A adalah lebih luas dan membabitkan seluruh sistem jenayah perundangan, sama ada kesalahan di bawah Kanun Keseksaan -- termasuk kesalahan jenayah komersil seperi penipuan, pecah amanah, menyalahgunakan harta, menyelewengkan harta, khianat, fitnah jenayah, kesalahan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, dan lain-lain.
Takrifan “keganasan rumahtangga” di dalam Akta adalah luas tetapi bukan setiap perlanggaran Perintah Perlindungan terjumlah kepada keganasan rumahtangga di bawah Akta. Misalanya, apabila pesalah melanggar syarat dengan memasuki tempat kerja anda atau kediaman bersama anda, atau motokar anda atau mendekati anak-anak, ia mungkin merupakan kesalahan melanggar Perintah Perlindungan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta (jika tegahan memasuki tempat kerja, kediaman, motokar anda atau mendekati anak-anak telah dimasukkan sebagai terma di dalam Perintah Perlindungan).
Bagaimanapun, dengan sendirinya, memasuki tempat kerja, kediaman, motokar anda atau mendekati anak-anak anda tidak dinamakan sebagai perlakuan yang ditakrifkan sebagai “keganasan rumahtangga” di bawah Akta. Saya berharap pihak penguatkuasa dan Mahkamah tidak menggunakan perkataan “includes” untuk meluaskan skop takrifan lebih luas daripada sepatutnya. Sewajarnya pihak penguatkuasa lebih teliti dalam menyediakan dan mentadbir Perintah Perlindungan dengan baik.
Jika tidak proses mengeluarkan EPO oleh JKM tidak diuruskan dengan baik, ia boleh membawa kepada tindaken undang-undang seperti semakan kehakiman (walaupun secara prinsipnya, boleh dikatakan pegawai JKM diberikan kekebalan lazim dalam menjalankan tugas-tugas rasminya). Dengan kebijaksanaannya, Parlimen telah memberikan mengehadkan tempoh berkuatkuasa EPO kepada 7 hari sahaja.
[1] Sila ambil perhatian, persetubuhan seks antara suami isteri tanpa kerelaan pasangannya tidak diiktiraf sebagai rogol di bawah pengecualian di dalam Seksyen 375 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, seorang mangsa masih berhak mendapat perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994 melalui EO, IPO dan PO. Di samping itu, walaupun rogol tidak diiktiraf namun ia tidak menafikan lain-lain kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti Seksyen 375A (kesalahan suami menyebabkan kecederaan untuk melakukan persetubuhan) dan lain-lain, atau lain-lain remedi di bawah undang-undang Syariah.