HAK ANDA APABILA DITAHAN OLEH POLIS (PESERTA PERHIMPUNAN KETIKA PANDEMIK)
PENAHANAN HADIRIN PESERTA PERHIMPUNAN MEMPERINGATI MANGSA COVID
Pada malam 19.8.2021, seramai 31 peserta perhimpunan aman anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) telah ditahan oleh pihak Polis di Dataran Merdeka.
Berita Harian pada laman sesawangnya di pautan https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/08/853440/31-dikompaun-berhimpun-di-dataran-merdeka yang dimuatnaik pada 20.8.2021, melaporkan kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, “Seramai 31 ahli SSR berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang putih bertulis 'Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi”.
Dalam penulisan ini, saya menumpukan kepada hak-hak anda apabila ditahan oleh Polis dalam konteks perhimpunan aman di tempat awam untuk makluman anda. Bukan tujuan saya untuk berkomen akan kewajaran mengadakan sebarang perhimpunan aman.
UNDANG-UNDANG UTAMA YANG TERPAKAI
Saya mengandaikan tindakan diambil terhadap orang yang berhimpun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara), yang diwartakan pada 5.7.2021, dengan rujukan kepada laporan Berita Harian pada pautan https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/835912/peraturan-baharu-diwartakan-tertakluk-fasa-ppn yang dimuatnaik pada 6.7.2021.
Pada pandangan saya, dalam konteks kes perhimpunan aman di dalam kawasan yang tertakluk kepada kawalan pergerakan, kita perlu membaca ketiga-tiga undang-undang berkenaan secara bersama-sama iaitu:
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara);
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988; dan
Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ini adalah pandangan umum untuk makluman awam. Kejadian dan tangkapan yang dilakukan terhadap 31 peserta perhimpunan aman semalam dirujuk sebagai contoh tanpa komentar khusus. Ini kerana, dalam sebarang konteks kejadian kes, pihak penguasa boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang yang sesuai untuk sesuatu keadaan yang mungkin berbeza dalam satu kes dengan yang lain.
Misalnya, Akta Kanak-Kanak 2001 boleh dikuatkuasakan sekiranya perhimpunan menjejaskan keselamatan kanak-kanak (lagipun, peserta dilarang daripada membawa kanak-kanak bersama di dalam perhimpunan melainkan perhimpunan yang dikecualikan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012). Sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 terpakai jika pihak Polis menjumpai dadah atau senjata dalam milikan peserta.
HAK-HAK ANDA SEKIRANYA DITAHAN OLEH POLIS
(DALAM KONTEKS BERHIMPUN SECARA AMAN DI TEMPAT AWAM KETIKA PANDEMIK)
HAK PERTAMA : Secara umumnya, anda mempunyai kebebasan untuk bergerak dengan bebas di mana-mana kawasan awam pada bila-bila masa di dalam Persekutuan Malaysia, tertakluk kepada undang-undang yang terpakai.
Undang-Undang tertinggi yang terpakai ke atas Kerajaan dan penduduk di Negara Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 9(2) (disebut “Perkara Sembilan, Fasal Dua”) memperuntukkan:
“Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.
“ (2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.”
Oleh yang demikian, sekiranya pihak Polis ingin menyekat kebebasan anda termasuklah menahan anda, mereka perlu mempunyai asas undang-undang untuk menyekat kebebasan anda. Oleh itu, asas untuk menahan anda hendaklah berpunca daripada undang-undang dan bukan daripada jawatan mereka sebagai anggota Polis Di-Raja Malaysia semata-mata.
Mana-mana anggota Polis yang bertindak di luar kuasa yang diberikan oleh undang-undang berkemungkinan telah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan tatatertib dan/atau disaman di Mahkamah Sivil bersama-sama dengan Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia, tertakluk kepada fakta kes dan jenis perlanggaran.
Saya mengingatkan anda untuk memahami hak-hak anda dalam aspek ini. Saya juga mengingatkan rakan-rakan kita dalam perkhidmatan Polis untuk sentiasa prihatin tanggungjawab anda pada setiap masa bagi memastikan undang-undang dihormati oleh semua pihak dan menguruskan risiko anda dan Jabatan anda diambil tindakan undang-undang oleh penganjur / peserta perhimpunan.
HAK KEDUA: Anda mempunyai hak untuk berhimpun untuk tujuan menyuarakan suatu pandangan atau pendirian – iaitu berhimpun secara aman. Undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak berhimpun dengan aman dan bersuara di dalam Perkara 10(1) (disebut “Perkara 10, Fasal 1”).
“Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;”
Hak anda untuk berhimpun secara aman telah diperhalusi di dalam AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012 (“APA 2012”).
BOLEHKAH POLIS MENANGKAP ANDA SEKIRANYA ANDA MENGHADIRI PERHIMPUNAN AMAN SEBAGAI PENGANJUR / PESERTA?
Seksyen 20 APA 2012 memberi kuasa kepada polis untuk menangkap anda sekiranya anda:
a. melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh Polis dalam mengadakan perhimpunan aman; atau
b. membawa kanak-kanak ke perhimpunan aman.
Kuasa ini berkuatkuasa terhadap anda sekiranya ada merupakan penganjur atau peserta perhimpunan tersebut.
Polis diwajibkan untuk terlebih dahulu cuba mendapatkan kerjasama anda secara sukarela (“voluntary compliance”). Ini adalah prasyarat yang diwajibkan di bawah Seksyen 20(2) sebelum menangkap anda.
Implikasinya, Polis tidak boleh sesuka hati menangkap anda kerana hadir di sebuah perhimpunan aman melainkan prasyarat-prasyarat di atas telah dipatuhi.
Prosidur untuk tangkapan diterangkan di bawah Seksyen 15 Kanun Tatacara Jenayah.
BOLEHKAH POLIS MELERAIKAN PERHIMPUNAN AMAN / MENOLAK BADAN ANDA / MENARIK TANGAN ANDA / MENGHALAU ANDA DARIPADA TEMPAT PERHIMPUNAN?
Ya. Seksyen 21(2) APA 2012 memberi kuasa kepada polis untuk menggunakan kekerasan/paksaan yang munasabah (“reasonable force”) untuk meleraikan sebuah perhimpunan aman. Perlu wujudnya arahan untuk meleraikan perhimpunan, dan kekerasan yang digunakan hendaklah munasabah. Sekiranya anda ingin mengambil tindakan sivil terhadap pihak Polis di bawah undang-undang tort, anda perlu mendapat bukti untuk mengenalpasti identiti pesalah laku tort (“tortfeasor”) — kegagalan untuk anda mengenalpasti indentiti pesalah laku tort boleh menyebabkan tindakan kausa anda dilihat sebagai cacat / tidak berasas dan kes boleh dibuang oleh Mahkamah. Memandangkan kuasa polis di bawah undang-undang tersebut berkait dengan suatu arahan, maka sebaik-baiknya anda dapat mengenalpasti apakah arahan dan siapakah mengeluarkan arahan tersebut. Peguam boleh menasihatkan anda berkenaan prosidur untuk mendapatkan perintah Mahkamah terhadap Ketua Polis Negara / lain-lain pihak yang sewajarnya untuk mendedahkan butir-butir arahan tersebut (“pre-action discovery”).
Mana-mana pegawai polis boleh mengeluarkan arahan untuk sebuah perhimpunan aman dileraikan. Bagaimanapun, Polis tidak boleh sesuka hati mengeluarkan arahan sedemikian.
Seksyen 21(1) APA 2012 menyenaraikan alasan-alasan yang diiktiraf untuk Polis mengeluarkan arahan untuk meleraikan sebuah perhimpunan.
Salah seorang daripada peserta telah melakukan kesalahan jenayah. Walaupun hanya satu orang peserta melakukan kesalahan, ia boleh menjejaskan seluruh perhimpunan dan dijadikan alasan untuk Polis mengeluarkan arahan untuk meleraikannya.
Salah seorang daripada peserta mengeluarkan apa-apa pernyataan atau membuat apa-apa perlakuan yang menimbulkan perasaan curang terhadap mana-mana kumpulan.
Salah seorang daripada peserta mengganggu ketenteraman awam.
Berlakunya pergaduhan di dalam perhimpunan atau kerosakan harta benda (vandalisme).
Dan lain-lain.
Saya tidak maklum dan tidak dapat berkomen sama ada perhimpunan anjuran SSR pada 19.8.2021 tersebut telah mematuhi segala prasyarat yang diperlukan oleh undang-undang. Oleh itu, saya mengandaikan secara umumnya sekiranya mana-mana peserta telah melanggar undang-undang seperti peruntukan di bawah SOP Pemulihan Negara yang diperintahkan di bawah punca kuasanya Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, maka Polis boleh mengambil tindakan dengan menggunakan kekerasan yang munasabah.
Peringatan: Walaupun pihak Polis mempunyai kuasa untuk menangkap anda, Polis masih mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi prosidur tangkapan.
HAK-HAK ANDA SEKIRANYA POLIS MEMBERHENTIKAN / MENAHAN / MENANGKAP ANDA
Peringatan: Bentuk tangkapan ada pelbagai senario. Kadang-kadang kita tidak sedar pun yang kita sebenarnya sedang ditangkap.
Andaikata seorang anggota Polis memberhentikan anda atau kereta Peronda polis menghalang anda. Anda diberikan hak di bawah undang-undang. Titik permulaan yang terbaik ialah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan danSeksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah.
HAK UNTUK MINTA PERKENALKAN DIRI : Sekiranya anggota Polis tidak berpakaian uniform (“preman”), anda berhak untuk minta beliau menunjukkan kad kuasa. Cakap dengan nada hormat, “Tuan, boleh tunjukkan kad kuasa?”
Jika anggota Polis berpakaian uniform, anda tidak perlu minta mereka memperkenalkan diri. Hanya perhatikan nama dan nombor badan mereka. Jika nama/ nombor badan tidak kelihatan, anda boleh bertanya, “Tuan boleh tunjukkan nombor badan?” Dalam pengalaman saya, kadang-kadang mereka menunjukkan respons yang sedikit negatif — bila kita bertanya, ada yang telah memberikan jawapan seperti, “Nah, nak sangat ini nombor badan aku, kau nak buat apa buat la. Ni ha nombor badan.” Bagaimanapun, ramai juga anggota akan menggunakan pendekatan psikologi yang positif dengan anda bagi menggalakkan anda memberikan kerjasama bagi memudahkan urusan Polis.
Jika kereta peronda atau lain-lain kenderaan Polis digunakan, anda boleh memerhatikan nombor pendaftaran kenderaan tersebut.
Peringatan :
Anggota Polis hanya melaksanakan tugas yang diarahkan. Mereka tidak akan memukul anda tanpa sebab. Jangan sekali-kali tunjuk lawan secara fizikal kerana itu boleh memberikan sebab untuk mereka menggunakan kekerasan munasabah terhadap anda dan lain-lain peserta walaupun terhadap yang tidak melawan.
“KEKERASAN MUNASABAH” ADALAH SUBJEKTIF
Jangan terkejut, anggota Polis boleh menolak anda sehingga terjatuh, memukul anda, menarik baju anda sehingga terkoyak. Alasan yang digunakan ialah kerana anda degil dan melawan polis. Jangan lawan polis secara fizikal. Anda takkan menang. Lagipun, mereka hanya melaksanakan arahan Pegawai mereka. Ini adalah kerana konsep “kekerasan yang munasabah” adalah amat subjektif mengikut fakta dan keadaan kes yang dapat dibuktikan di Mahkamah.
HAK UNTUK BERTANYA SAMA ADA ANDA DITANGKAP : Kadang-kadang, Polis akan bertanya anda beberapa soalan ringkas atau menyoalsiasat anda. Lazimnya kita tidak akan dapat membezakan antara solana ringkas dan soalsiasat penuh. Jika Polis bertanya soalan kepada anda, anda hanya perlu memberikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda. Anda tidak perlu memberikan Polis lain-lain maklumat. Anda perlu menyerahkan kad pengenalan untuk pemeriksaan jika diminta oleh Polis.
Sekiranya anggota Polis bertanya banyak soalan, ia mungkin suatu soalsiasat. Contohnya, “Ke mana kamu pergi, kamu berarak dari mana, siapakah penganjur, adakah dengar maklumat orang bawa senjata, kamu tahukah penganjur tidak minta permit berhimpun”, dan lain-lain.
Apabila disoalsiasat, SILA TANYA PEGAWAI POLIS tersebut dengan sopan: “Adakah saya ditangkap?” Isu ini adalah penting kerana hak orang yang ditangkap berbeza daripada hak orang yang tidak ditangkap.
Bagaimana untuk tahu anda sedang ditangkap? Jika anggota Polis berkenaan:
a. Menjawab, “Ya saya tangkap Encik lah ni.”
b. Menggari anda atau memegang lengan / badan anda.
c. Tidak membenarkan anda bergerak ke mana-mana.
d. Membawa anda ke balai polis.
APAKAH STATUSNYA KALAU POLIS HANYA “MENGAJAK” ANDA UNTUK KE BALAI UNTUK URUSAN MELIHAT DOKUMENTASI DAN MENCATIT BUTIR-BUTIR ANDA? BILA DITANYA DIRECT, POLIS TIDAK MENYATAKAN ANDA TANGKAP.
Tidak kira sama ada Polis menyebut perkataan “tangkap” atau tidak. Yang penting ialah perbuatan mereka dan pemahaman anda. Sekiranya perbuatan atau percakapan mereka adalah di mana anda mendapati tidak boleh dengan kerelaan diri balik rumah sesuka hali, maka itu disifatkan sebagai tangkapan (“constructive arrest”).
Saya juga mengingatkan rakan-rakan kita dalam perkhidmatan Polis untuk sentiasa jelas dan berterus terang dengan orang awam bagi mengelakkan sebarang salahfaham atau tohmahan terhadap anda atau Jabatan anda. Walaupun anda tidak menggunakan gari, bersenyum dan berlembut dengan orang awam, Mahkamah akan menilai keseluruhan fakta dan perlakuan anda dan boleh membuat dapatan “constructive arrest”. Sesungguhnya pasukan yang telus dengan rakyat akan sentiasa diberi sokongan, kerjasama dan disanjungi rakyat.
HAK ANDA SEKIRANYA TIDAK DITANGKAP
Sekiranya anda tidak ditangkap, anda tidak perlu menjawab soalan anggota Polis tersebut dan tidak perlu mengikutnya ke Balai Polis untuk sebarang urusan termasuklah urusan “dokumentasi”. Anda berhak untuk beredar dari situ.
Katakan: “Baik Tuan, saya jalan dulu ya.” Atau jika dihalang dan anda tiada jalan lain, anda boleh katakan, “Tuan boleh bagi laluan? Saya ingin lalu.”
Pastikan anda mendapatkan balik kad pengenalan kalau ditunjukkan untuk pemeriksaan.
Sekiranya anggota Polis menyatakan, “Encik kena ikut saya,” paham-pahamlah itu ialah suatu arahan bermaksud anda tidak bebas bergerak (“constructive arrest”). Saya mengulangi, ini tertakluk kepada fakta dan keadaan kes.
Secara amnya, jika tiada tangkapan, pihak Polis perlu mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah kepada anda untuk memanggil anda ke Balai Polis untuk penyiasatan. Ini merupakan Notis rasmi dan bukan SMS atau panggilan telefon semata-mata. Sekiranya anda ingkar arahan di dalam Notis tersebut, Pegawai Penyiasat boleh memohon kepada Majistret untuk mengeluarkan waran supaya anda ditangkap.
HAK ANDA SEKIRANYA DITANGKAP
1. POLIS WAJIB MEMAKLUMKAN SEBAB ANDA DITANGKAP.
2. Tanya anggota Polis yang menangkap anda, “MENGAPA SAYA DITANGKAP?”
3. Contoh bentuk Jawapan: “Kerana dadah”. “Kerana ada orang awam membuat pengaduan Encik bergaduh.” “Di bawah Akta Senjatapi.” “Kerana berhimpun tanpa kebenaran”. “Kerana memiliki bahan lucah.” Lazimnya mereka tidak menyebut seksyen undang-undang.
4. Kenalpasti nama, nombor badan anggota Polis yang menangkap anda.
APA YANG POLIS TIDAK BOLEH BUAT KETIKA TANGKAPAN?
a. Polis tidak boleh memukul atau mencederakan anda.
b. Polis tidak boleh merampas barang peribadi anda seperti telefon bimbit, wallet, dan kunci kereta.
ANDA BERHAK UNTUK MENGETAHUI DI MANA ANDA DITAHAN (LOKAP)
Sila tanya anggota Polis yang menangkap anda, ke Balai Polis manakah mereka akan bawa anda. Pada peringkat awal kes seperti ini, antara permasalahan utama untuk keluarga anda dan peguam anda nanti ialah untuk menjejaki keberadaan anda.
APAKAH AKAN BERLAKU SELEPAS TANGKAPAN?
a. Anda dibawa ke Balai Polis yang berhampiran untuk merekodkan tangkapan. Seorang pegawai Polis akan membuat laporan tangkapan.
b. Anda akan ditempatkan di dalam lokap Balai Polis. Kadang-kadang atas sebab-sebab tertentu (lokap terlalu sesak dan lain-lain), anda akan digari dan perlu duduk atas jalan, duduk atas tarmac tempat letak kereta, duduk atas lantai di dalam perkarangan Balai Polis dan sebagainya.
BOLEHKAH ANDA MEMBUAT PANGGILAN TELEFON?
Selepas ditangkap, anda berhak untuk membuat satu panggilan telefon kepada keluarga dan/atau peguam anda. Anda perlu sentiasa “push” untuk membuat panggilan tersebut kerana kadang-kadang disebabkan urusan Balai terlalu sesak, anda terpaksa menunggu lama untuk menggunakan telefon.
Jangan menolak kemungkinan anggota Polis meminta wang untuk memberikan hak tersebut kepada anda.
Peringatan:
Hak untuk membuat satu panggilan telefon tersebut diberikan oleh undang-undang dan bukan diberikan oleh Polis.
Berwaspada dengan pertanyaan atau teguran daripada orang di Balai Polis yang bukan anggota Polis. Mereka adalah “ulat-ulat” yang cuba “membantu” anda mendapatkan barang, membuat panggilan telefon atau dibebaskan. Berhati-hati sekiranya ulat-ulat tersebut memberikan sebarang tawaran atau cadangan atau minta untuk menghubungi keluarga anda. Mereka lebih mementingan potongan wang Labuan mereka dan bukan kebajikan anda.
BOLEHKAH POLIS MERAMPAS BARANG KEPUNYAAN ANDA?
Ya.
Anda akan diperiksa dan Polis boleh mengambil barang peribadi anda. Mereka perlu mendaftar rampasan di dalam dokumen yang dikenali sebagai Senarai Rampasan atau Borang Bongkar. Sepatutnya anda mendapat sesalinan dokumen ini.
c. Senarai Rampasan / Borang Bongkar hendaklah ditandatangani oleh anda dan pegawai Polis yang merampas barangan anda. Sila teliti senarai rampasan tersebut. Jangan risau sangat kerana mendatangani borang tersebut bukanlah suatu pengakuan.
d. Jika anda mendapati Polis telah memasukkan (menokok tambah) objek atau barang lain di dalam senarai tersebut, sila bulatkan dan catitkan “BUKAN MILIK SAYA.” Tidak membantu anda kalau anda enggan menandatangani borang tersebut.
e. Jika didapati borang itu mengandungi barang yang ditambah, anda boleh membuat laporan polis serta merta. Nyatakan kepada mana-mana anggota di Balai Polis tersebut, “Saya ingin membuat laporan polis”. Sekiranya ditanya, “Kenapa?” Sila jawab, “Tadi anggota tu suruh saya tandatangan borang bongkar. Ada barang yang ditambah, bukan saya punya.” Kalau anggota balai tidak membenarkan anda membuat laporan polis, atau jika beliau menyatakan, “Takpe, cerita kat IO nanti”, sila maklumkan Pegawai Penyiasat nanti atau buat laporan polis seawal mungkin bila anda berpeluang melakukan sedemikian. Seksyen 114 Kanun Tatacara Jenayah melarang Polis daripada menghalang/tidak membenarkan anda membuat laporan polis. Sekiranya Polis telah menambah barang ke dalam senarai pemeriksaan, maka itu suatu kesalahan berat (memalsukan dokumen) di bawah Kanun Keseksaan.
MALAM PERTAMA DALAM LOKAP
a. Setiap Lokap tertakluk kepada peraturan Lokap. Peraturan tersebut memberikan anda hak untuk mendapat rawatan perubatan sekiranya anda sakit atau cedera. Anda juga berhak diberikan makan minum dan sehelai pakaian.
b. Keluarga dan peguam anda boleh memohon untuk berjumpa dengan anda di Lokap. Lazimnya tidak dibenarkan sehingga esok hari di prosiding reman. Dalam keadaan pandemic Covid adalah rumit untuk mereka berjumpa dengan anda ketika ditahan dalam lokap.
c. Pada malam pertama, kemungkinan anda akan disoalsiasat oleh Pegawai Polis. Sama ada Pegawai Penyiasat kes yang ditugaskan untuk menyiasat kes atau lain-lain pegawai dari pelbagai jabatan. Misalnya, daripada unit risikan/operasi untuk mendapatkan “Intelligence Statement”, daripada Cawangan Khas, dan sebagainya.
d. Anda boleh dibebaskan pada malam pertama atau pada pagi keesokannya tanpa tahanan dilanjutkan. Lazimnya, anda dibebaskan dengan jamin polis/jamin mulut. Atau anda dibebaskan tanpa syarat. Jamin polis bermaksud, anda dibebaskan dengan penjamin. Polis akan sediakan suatu borang yang ditandatangani oleh Pegawai Penyiasat, anda dan penjamin anda. Borang tersebut mungkin akan menyatakan jumlah wang jamin, misalnya RM3000. RM3000 tersebut tidak dibayar “up front”. Ia hanya dibayar (dilucutkan) sekiranya anda ingkar syarat dalam jamin polis. Antara syarat jamin polis yang lazim ialah anda hendaklah melaporkan ke Mahkamah pada tarikh tertentu, atau hadir ke pejabat Pegawai Penyiasat pada tarikh tertentu. Kalau Polis minta duit daripada anda atau keluarga anda sebagai syarat untuk dibebaskan, anda perlu tahu apa sebenarnya tujuan duit itu diminta (denda, jamin, kompaun?). Setiap pembayaran kepada Polis hendaklah diperolehi resit rasmi daripada Polis. Tawaran kompaun akan dimaklumkan di dalam sehelai Notis Kompaun.
PERLANJUTAN REMAN
Reman bermaksud tempoh ditahan bagi tujuan membantu siasatan. Hak anda dalam tahanan reman dan dalam isu perlanjutan tempoh reman adalah diberikan di dalam PERKARA 5 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN dan SEKSYEN 117 KANUN TATACARA JENAYAH.
Sekiranya Polis ingin menahan anda lebih daripada 24 jam, mereka hendaklah membawa anda ke Majistret atau Pendaftar untuk memohon perlanjutan tahanan reman.
Sekiranya Polis tidak berhasrat untuk menyambung reman, anda akan dibebaskan pada hari selepas hari tangkapan atau lebih awal. Adalah perkara biasa untuk Polis menahan anda lebih daripada 24 jam tanpa permohonan perlanjutan reman – misalnya anda ditangkap pada 6.00 petang ada hari Sabtu (malam Ahad) dan dibebaskan pada 9.00 malam pada hari Ahad (malam Isnin).
Ini adalah suatu kesalahan yang melanggar hak anda di bawah perlembagaan kerana Polis menahan anda lebih daripada 24 jam – sila dapatkan nasihat peguam berkenaan perkara ini.
BERAPA LAMAKAH ANDA AKAN DITAHAN REMAN?
Mahkamah dan bukan Polis menentukan tempoh perlanjutan reman.
Pada keesokan pagi selepas tangkapan, Pegawai Penyiasat akan menghadapkan anda ke Mahkamah dan memohon untuk reman dilanjutkan.
Mahkamah boleh sambung reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon untuk sambung reman kali kedua selepas tamatnya perintah reman yang pertama.
Untuk permohonan kedua, Mahkamah boleh membenarkan perlanjutan reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.
Pandangan ini tidak merangkumi penahanan khas yang diperuntukan di bawah POCA, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas), SOSMA dan lain-lain.
DI MANAKAH PERMOHONAN REMAN DIJALANKAN?
Ini persoalan penting kerana keluarga dan peguam anda akan berusaha untuk menjejaki lokasi anda bagi mengikut perkembangan kes. Kadang-kadang, IO tidak menjawab panggilan telefon dan tidak memaklumkan keluarga anda keberadaan anda.
Lokasi permohonan reman berbeza-beza mengikut pengurusan sesebuah tempat. Contohnya:
Di Mahkamah Kajang, reman dijalankan di dalam Pejabat Pendaftaran di Aras 2, Kompleks Mahkamah Kajang. Anda akan dibawa bersama-sama lain-lain tahanan ke dalam suatu ruang sempit. Anda dan para tahanan yang lain akan menghadap bertentangan dengan sebuah “booth” di mana Majistret/Pendaftar, Peguam dan IO akan duduk sebaris.
Di Mahkamah Petaling Jaya, reman dijalankan di hujung sebatang laluan koridor di sayap kiri bangunan (selepas kantin Mahkamah). Di akhir koridor terdapat sebuah “booth” dan Majistret/Pendaftar akan bersidang di sebalik booth tersebut. Peguam, IO akan duduk bertentangan dengan Majistret/Pendaftar. Anda pula akan dibawa secara bergari dan berantai dan diarahkan untuk duduk atas lantai jubin yang sejuk secara berkaki ayam. Anda mungkin dapat bersemuka dengan keluarga anda jika mereka menunggu di bahagian tepi koridor di laluan masuk.
Di Mahkamah Kuala Lumpur (Jalan Sultan Abdul Halim, dulu dikenali sebagai Jalan Duta), reman dijalankan di tempat yang dipanggil “117” yang boleh diakses dari belakang blok Mahkamah (turun dari Kantin di aras B1, terdapat juga laluan jalan belakang di kawasan parkir penjawat awam).
Di Mahkamah Seremban, keluarga anda boleh menunggu di lobi Mahkamah dan memerhatikan van atau lori polis yang akan masuk ke perkarangan Mahkamah membawa anda dan tahanan lain. Kemudian mereka bergegas naik ke tingkat atas dan menunggu di ruang legar di sayap kanan bangunan, berhadapan Mahkamah Reman. Keluarga tidak dibenarkan masuk. Bagaimanapun, kadang-kadang anda berpeluang untuk bersemuka dengan keluarga jika polis membawa anda melalui jalan ruang legar. Jika polis membawa anda mengikut jalan koridor terlindung, anda tidak akan dapat melihat keluarga. Peguam anda dibenar memasuki dewan bicara.
Di Mahkamah Sepang, prosiding reman dijalankan di dalam sebuah dewan bicara yang luas dan besar. Ruang menunggu juga lapang. Oleh itu keluarga anda boleh cuba mohon kebenaran Polis untuk berjumpa dengan anda atau memberikan air kepada anda.
Di Mahkamah Putrajaya, reman dijalankan di dalam dewan bicara Mahkamah Majistret di Tingkatan 2 (blok yang sama seperti Mahkamah Syariah dan bukan Istana Kehakiman). Tidak banyak kes dipanggil di mahkamah tersebut dan ruang menunggu dan dewan bicara adalah selesa untuk dikunjungi keluarga anda. Bagaimanapun, hanya peguam dibenarkan untuk hadir ketika pendengaran bermula. Sebelum 9.00 pagi, keluarga anda boleh masuk ke dalam dewan bicara dan minta izin jurubahasa atau anggota polis Mahkamah untuk berjumpa dengan anda. Lazimnya anda akan dibawa sekitar jam 10.00 pagi.
Di kawasan tertentu, reman dijalankan di Balai Polis, contohnya Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur. Keluarga anda perlu berhubung rapat dengan IO untuk menjejaki perjalanan anda. Ini kerana terdapat beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Cheras dan Ampang yang memang kawasan bersempadanan antara satu dengan yang lain dan kadang-kadang anda dibawa ke tempat reman di luar jangkaan.
Tip 1: Jika keluarga anda tidak dapat berhubung dengan IO, mereja boleh semak dengan setiap Balai Polis di dalam kawasan anda ditangkap. Hubungi Lokap dan tanya sama ada anda berada di dalam “simpanan” mereka. Anggota Balai Polis boleh membantu keluarga anda mendapatkan nama dan momboor bombit IO.
Tip 2: Jika keluarga anda benar-benar “desperate” dan tidak dapat mengesan anda walaupun telah cuba menghubungi IO dan setiap Balai Polis dalam kawasan yang berkaitan, meraka boleh cuba mendapat bantuan daripada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah atau Ketua Polis Daerah. Mereka hendaklah berpakaian dan berkelakuan sopan dan pergi ke IPD yang berkenaan. Keluarga anda tidak perlu call dulu, mereka boleh terus pergi kerana pejabat IPD sentiasa terdapat pegawai yang bertugas.
Tip 3: Alang-alang keluarga anda sudah sampai di IPD, mereka boleh bertanya IO yang bertugas atau Ketua Bahagian untuk memohon izin berjumpa dengan anda. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik (“best possible result”) saya nasihatkan segala urusan ini dilakukan secara bersemuka (“face to face”) supaya pihak IO dan lain-lain pegawai boleh mengenali keluarga anda dan memberikan bantuan yang sesuai mengikut keadaan. Keluarga anda sewajarnya memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan. Keluarga anda tidak mempunyai hak untuk berjumpa dengan anda. Oleh itu, kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada budibicara Polis.
ADAKAH ANDA BOLEH DIWAKILI OLEH PEGUAM PADA PERINGKAT REMAN & SAMBUNG REMAN?
Ya. Anda dijamin hak untuk diwakili peguam di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Secara praktik, pada peringkat reman, lazimnya anda hanya dapat berjumpa dengan peguam selama 5 minit. Paling lama dalam 15 minit kalau anda dibawa ke dalam dewan bicara Mahkamah dan Majistret belum memanggil kes anda.
HAK-HAK ANDA DI HADAPAN MAJISTRET DALAM PERMOHONAN SAMBUNG REMAN:
Memaklumkan Mahkamah sama ada anda pernah ditahan sebaik sebelum tahanan itu. Misalnya anda ditahan pada 17 Ogos dan dibebaskan. Kemudian anda ditahan sekali lagi pada 18 Ogos dan dihadapkan ke hadapan Majistret pada 19 Ogos. Anda berhak untuk memaklumkan berkenaan penahanan pada 17 Ogos walaupun ia tiada kaitan dengan kes yang dihadapkan itu. Matlamat anda ialah untuk mengurangkan tempoh perlanjutan reman. Mahkamah wajib mengambilkira tempoh anda ditahan sebelum permohonan reman, walaupun tempoh tahanan sebelum itu tiada kaitan dengan permohonan.
Melaporkan keadaan tahanan anda : Tidak dibenarkan menghubungi keluarga / peguam, telah dirampas barang tanpa menandatangani Borang Bongkar, tidak dipertemukan dengan Pegawai Penyiasat, tidak diberikan makan minum, dipukul dalam tahanan.
Memohon bahawa anda ingin mendapatkan khidmat peguam. Lazimnya Mahkamah akan mencadangkan anda menghubungi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan jika ada peguam sukarela yang bertugas pada pagi tersebut.
Memohon tempoh reman yang lebih singkat daripada tempoh yang dipohon oleh Polis, atau memohon untuk dilepaskan serta-merta. Berikan akujanji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasatan.
REMAN BERANTAI (“CHAIN REMAND”)
Polis tidak perlu menyambung reman jika mereka membuat tangkapan semula terhadap anda kerana kes baru. Tangkapan semula dilakukan “atas kertas” dan kadang-kadang anda tidak menyedari berlakunya tangkapan semula. Polis juga wajib memaklumkan sebab tangkapan di bawah seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah dan membenarkan anda 1 panggilan kepada keluarga / peguam. Oleh itu, Polis dapat menjimat masa “paperwork” dan mengelakkan perlu menghadap Mahkamah.
Polis juga dapat melengah-lengahkan proses (“buy time”) kerana ingin membuat perkara lain dalam “game plan” mereka, misalnya menyediakan kertas-kertas untuk mentaklimatkan Timbalan Pendakwa Raya untuk permohonan di bawah Akta Pencegahan Jenayah, SOSMA dan lain-lain. Atau mungkin mereka memang tidak mempunyai asas untuk menahan anda dan hanya menahan anda untuk tujuan lain.
Keadaan sedemikian agak rumit bagi anda kerana kekangan untuk mendapat khidmat perundangan atau berhubung dengan dunia luar. Secara teori, Jika Polis mempunyai 30 dakwaan terhadap anda daripada 30 laporan polis berkaitan 30 kesalahan yang berasingan, mereka boleh menangkap anda 30 kali berturut-turut dan menahan anda selama 30 hari dan 30 malam tanpa perlu membawa anda ke Mahkamah. Anda atau keluarga anda perlu melantik peguam untuk mencabar keesahan penahanan tersebut segera atau membuat lain-lain tindakan yang perlu untuk membebaskan anda.
SIASATAN POLIS
Siasatan Polis boleh dijalankan terhadap anda sebelum tangkapan, ketika dalam tahanan reman, dan selepas dibebaskan. Tiada had masa untuk suatu penyiasatan dijalankan. Malah, siasatan boleh diteruskan walaupun anda telah dituduh. Siasatan hanya berhenti apabila anda membayar kompaun atau anda telah disabitkan atau dperintah lepas dan bebas oleh Mahkamah Bicara.
Siasatan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat (“IO”), tetapi kadang-kadang anda tidak akan berjumpa dengan IO tetapi hanya berjumpa dengan lain-lain anggota detektif. Anda akan disoalsiasat oleh pelbagai anggota polis ketika dalam tahanan. Kalau boleh, sila dapatkan butir-butir mereka, contohnya mereka bertugas di pejabat mana, dan sama ada anda disiasat untuk lain-lain kesalahan. Mereka tidak wajib menjawab soalan anda.
ADAKAH ANDA BERHAK DIWAKILI PEGUAM PADA SESI RAKAMAN PERCAKAPAN?
Tidak. Ini boleh disifatkan sebagai “hak bersyarat”. Hak ini adalah tertakluk kepada budibicara IO. Lazimnya, IO tidak akan membenarkan IO hadir sekali terutamanya sekiranya anda telah dikenalpasti sebagai seorang saspek atau Orang Yang Disyaki (OYDS).
Bagaimanapun, kadang-kadang IO membenarkan peguam hadir pada sesi rakaman percakapan untuk saksi yang bukan OYDS. Saya pernah hadir pada sesi rakaman bersama-sama anakguam dalam kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan polis. Dalam sesi tersebut, peguam tidak dibenarkan mencelah atau membantah (seperti dilihat di dalam beberapa filem dari Amerika Syarikat). Peranan peguam adalah lebih sebagai pemerhati sahaja. Peguam yang telah hadir dalam sesi rakaman untuk seorang saksi tidak dibenarkan untuk mewakili OYDS yang kemudiannya dituduh di Mahkamah.
Dalam suatu pengalaman kes jenayah komersil, saya telah diminta oleh anakguam (pengadu mangsa penipuan) untuk menemaninya ke pejabat IO. Difahamkan tujuannya untuk merakam percakapan dan membantu IO mengenalpasti dokumen. Saya telah menyediakan salinan-salinan, jadual indeks dokument dan siap buat “tagging” untuk kemudahan IO. Setibanya kami di pejabat, tiba-tiba IO minta saya tunggu di luar dan beliau telah berbincang dengan anakguam. Rupanya IO ingin sampaikan mesej untuk menyelesaikan kes dengan pihak OYDS.
HAK UNTUK BERDIAM DIRI : Anda hanya perlu menjawab soalan Polis jika mereka merakam percakapan anda di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Anda tidak perlu menjawab soalan-soalan daripada pegawai dari cawangan lain atau anggota detektif jika mereka tidak merakam “percakapan 112” anda. Anda berhak untuk bertanya mereka sama ada mereka ingin/sedang merakam percakapan anda di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Terdapat juga lain-lain undang-undang seperti peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah 2009, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan lain-lain. Pastikan terdapat asas untuk mereka mendapat maklumat dan keterangan daripada anda.
Dalam suatu penyiasatan, semestinya seorang pegawai akan merakam percakapan anda di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Pegawai ini dikenali sebagai pegawai perakam. Beliau mungkin juga IO kes. Pegawai perakam hendaklah membaca amaran kepada anda sebelum meneruskan sesi rakaman percakapan. Anda berhak untuk diterangkan maksud amarannya. Jangan buat-buat tak faham. Sekiranya anda kurang fasih dalam Bahasa Melayu, anda berhak untuk mendapatkan penterjemahan jurubahasa. Lazimnya penterjemah adalah dari kalangan polis juga.
Anda perlu sentiasa memberi kerjasama kepada Polis dan bertindak sopan demi kebaikan anda dan pembelaan anda. Anda tidak perlu menjawab soalan yang mendedahkan anda kepada sebarang pendakwaan jenayah. Anda boleh jawab, “Tuan, saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri,” atau “Saya akan menerangkan di Mahkamah nanti”. Tetapi ada PRO & CON sekiranya anda jawab seperti ini.
Secara umum, saya kurang menggalakkan anda menjawab seperti ini. Awal-awal dah hostile.
Cuba fikirkan apakah mungkin sentimen Mahkamah sekiranya Majistret atau Hakim membaca percakapan anda nanti? Mungkin peguam anda juga tidak berani untuk menggunakan percakapan anda kerana tidak mahu menjejaskan kes anda.
Bagaimanapun, kalau anda boleh jawab soalan Polis, cuba jawab sebaik dan sejelas mungkin, mudah-mudahan dapat membantu pembelaan anda nanti. Matlamatnya, peguambela anda boleh menggunakan percakapan tersebut sebagai bukti sokongan kes.
Jangan berbohong dalam percakapan. Jika anda tidak menjawab soalan, atau enggan menjawab soalan, perkara tersebut boleh dicatit oleh IO di dalam Diari Siasatannya dan ia juga menyebabkan peguambela tidak dapat menggunakan percakapan anda bagi manfaat kes anda nanti. Kalau anda tidak pasti suatu fakta, jangan sekali-kali mengaku bahawa anda pasti. Anda tidak akan mengetahui implikasinya di masa hadapan. Kalau anda tidak ingat suatu fakta, nyatakanlah bahawa anda tidak ingat fakta tersebut kerana telah terlalu lama, kerana anda sedang trauma dan pening kepala, dan lain-lain.
Cuba elakkan : Katakanlah penting anda menyatakan (memetik) satu nama. Nama ini mungkin nama penganjur perhimpunan, nama orang yang mengajak anda ke lokasi, nama pesalah sebenar, nama orang di dalam perhimpunan yang melakukan kesalahan. Elakkanlah menimbulkan nama itu pertama kali di dalam perbicaraan tetapi nama tidak disebut di dalam percakapan. Mahkamah boleh menganggap itu ciptaan anda, iaitu suatu fikiran terkemudian. Kalau anda benar-benar tersepit dan bimbang untuk memetik nama orang, cuba elak dan cakap, “Saya akan menerangkannya di Mahkamah”. Cuma terdapat risiko dengan cara ini, walaupun anda mempunyai hak untuk berdiam diri.
Anda tidak mempunyai hak / peranan untuk menjawab, “Soalan Tuan tidak relevan.” Sila tumpukan kepada hak anda di bawah undang-undang. Hanya Mahkamah boleh menentukan apa yang relevan dan apa yang tidak relevan kepada sesuatu kes. Jika anda masih bersikap melawan di peringkat siasatan, ini boleh menjejaskan pembelaan anda sendiri.
Sila pastikan anda membaca semula percakapan anda dan membuat pembetulan / penambahan yang perlu. Jangan turunkan tandatangan anda sehingga berpuashati telah dapat membuat pembetulan.
Sebenarnya, percakapan anda penting bagi membantu anda membela diri jika dituduh di Mahkamah.
Sekiranya pegawai perakam merujuk kepada mana-mana dokumen, anda berhak untuk meminta untuk melihat dokumen yang dirujuk sebelum memberi komen. Kalau anda ditekan juga, sila jawab, “Saya kurang pasti kerana dokumen tidak ditunjukkan kepada saya.” Kalau anda berasa yakin, anda boleh menjawab secara andaian, “Seingat saya, faktanya begini … tetapi saya perlu lihat dokumen asal, barulah saya dapat mengesahkannya.”
KESIMPULAN
Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada setiap warga Malaysia untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan atau pendirian. Perlembagaan Persekutuan juga memberi kuasa kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan berhimpun dan bersuara. Oleh kerana pada asasnya kebebasan kita dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, maka pihak penguatkuasa wajib memastikan bahawa kuasa yang dilaksanakannya untuk menyekat hak kita untuk berhimpun adalah jelas, dijalankan dengan munasabah dan diurustadbir dengan konsisten.
Saya menegaskan bahawa undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 perlu dibacakan bersama undang-undang terpakai berkaitan dengan penguatkuasaan SOP Pemulihan Negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.