SOALAN-SOALAN LAZIM BERKENAAN KES JENAYAH

Arik Zakri bin Abdul Kadir                               Khalek Awang & Associates
Farhan Read                                                     Read & Co.

Forestier, Amédée (1890) Blind Love, Vol. 1,

Chatto & Windus, London

Bahagian 1 – Tangkapan dan Reman

 

 

Mengapakah anak / ibubapa / saudara / kawan saya ditangkap? 

 

Pihak polis diberi kuasa oleh undang-undang untuk menangkap seseorang (“OYDS” atau “Orang Yang Disyaki”) apabila mereka mempunyai syak munasabah bahawa OYDS telah melakukan suatu kesalahan boleh tangkap. Apabila tangkapan dilaksanakan, pihak polis diwajibkan untuk memaklumkan alasan atau sebab-sebab tangkapan dilakukan terhadap OYDS. OYDS kadang-kadang juga dirujuk sebagai “OKT” yang boleh membawa maksud “Orang Kena Tuduh” atau “Orang Kena Tangkap”.

 

Saudara anda berhak untuk menghubungi anda atau seorang peguam sebelum percakapannya dirakam oleh pihak polis. Ini merupakan suatu kehendak undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pihak polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”).

 

Lazimnya, Pegawai Penyiasat (“IO” atau “Investigating Officer”) akan memaklumkan waris OYDS melalui panggilan telefon.

 

 

Apakah yang perlu saya lakukan apabila dimaklumkan saudara saya telah ditangkap?

 

Apabila dihubungi IO, sila catit: 

 

1.     Nama dan nombor telefon bimbit IO serta tempat beliau bertugas (misalnya, di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Petaling Jaya, atau di Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor di Shah Alam).

2.     Di Balai manakah saudara anda ditahan.

3.     Kesalahan yang disiasat (misalnya, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Seksyen 302 Kanun Keseksaan).

 

Sila maklumkan IO sekiranya saudara anda menghidapi sebarang penyakit atau lain-lain alahan supaya IO boleh menguruskan penyampaian ubat (misalnya, ubat insulin dan ubat darah tinggi) mengikut waktu yang ditetapkan.

 

Pada peringkat tersebut, anda juga dinasihatkan untuk menghubungi peguambela jenayah (“Peguambela” atau “criminal lawyer”) untuk membantu dalam perhubungan dengan IO dan supaya bersedia menghadapi sebarang perkembangan dalam penyiasatan polis. 

 

Mengapakah polis perlu mengangkap saudara saya?

 

Pihak polis boleh mempunyai pelbagai tujuan untuk menahan saudara anda, tetapi lazimnya, penahanan dilakukan untuk membantu dalam penyiasatan kes. Walaupun seseorang ditahan tidak semestinya bermaksud beliau disyaki sebagai pesalah jenayah. Sebenarnya, OYDS ditahan kerana pihak polis mempunyai cukup sebab untuk mengesyaki penglibatannya di dalam suatu kesalahan jenayah. 

 

Mungkin juga beliau telah ditahan kerana dilihat sebagai tidak memberi kerjasama apabila disoalsiasat oleh polis.

 

IO yang ditugskan untuk menyiasat suatu kes mempunyai budibicara yang luas dalam perkara ini dan adalah atas budibicara tersebut sepenuhnya sama ada untuk melaksanakan penahanan atau tidak.

 

 

 

Apakah yang berlaku selepas penangkapan?

 

Selepas tangkapan, pihak polis diberi kuasa oleh undang-undang untuk menahan seseorang sehingga 24 jam untuk tujuan siasatan. Dalam tempoh penahanan ini, mereka juga mempunyai budibicara untuk melepaskan beliau dengan jamin (dikenali sebagai jamin polis atau jamin mulut), supaya OYDS dikehendaki hadir ke Balai Polis atau Mahkamah apabila diperlukan. Jamin polis tersebut direkodkan dalam bentuk borang makluman yang boleh menyenaraikan syarat-syarat jamin yang perlu dipatuhi oleh OYDS. 

 

Seseorang yang dilepaskan atas jamin polis tidak perlu membuat sebarang pembayaran sebagai “cagaran”. Bagaimanapun, terdapat beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia yang biasanya akan memerlukan pembayaran pendahuluan “up front” sebagai syarat dilepaskan dengan jamin. 

 

 

Sekiranya pihak polis mendapati tempoh penahanan 24 jam tidak mencukupi untuk melengkapkan penyiasatan, mereka boleh memohon kepada Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perlanjutan penahanan tersebut. Ini kenali sebagai “permohonan reman”, atau “sambung reman”. 

 

 

 

Berapa lamakah tempoh saudara saya boleh ditahan reman di bawah perintah reman Mahkamah? 

 

Terdapat 2 tempoh penahanan reman yang bergantung kepada jenis kesalahan yang disiasat. 

 

Untuk kesalahan yang dikategorikan sebagai “kurang serius”, Majistret boleh memerintahkan reman sehingga 7 hari jumlahnya. Mahkamah tidak boleh memerintahkan 7 hari terus, tetapi ia dipecah dua. Pada permohonan reman kali pertama, tempoh maksima ialah sehingga 4 hari dan pada permohonan kedua (jika ada), tempoh maksima ialah sehingga 3 har (supaya jumlahnya tidak melebihi 7 hari). 

 

Di akhir tempoh reman, saudara anda hendaklah dibebaskan oleh polis dengan atau tanpa jamin polis. Kebiasannya, saudara anda akan dituduh di Mahkamah (sila lihat di bawah) pada tarikh terakhir tempoh reman, atau tidak lama selepas itu, sekiranya pihak polis yakin dengan kes yang didakwa terhadap beliau.

 

Untuk kesalahan yang lebih serius, Majistret boleh memerintahkan reman sehingga 14 hari jumlahnya, dan ini juga dipecah dua dan tidak diperintahkan 14 hari terus. Pada permohonan pertama, penahanan maksima ialah sehingga 7 hari dan pada permohonan kedua (jika ada) penahanan maksidma sehingga 7 hari lagi (supaya jumlahnya tidak melebihi 14 hari).

 

 

 

 

Bolehkah saya melawat saudara saya sementara beliau dalam tahanan reman? 

 

Anda boleh melawat saudara anda dengan kebenaran IO. IO memiliki budibicara dalam perkara ini. Beliau boleh menandatangani suatu borang untuk dibawa oleh anda ke tempat saudara anda ditahan (lokap).

 

Secara am, anda tidak dibenarkan mengirim / menghantar makanan, pakaian dan ubat kepada saudara anda. Bagaimanapun anda boleh cuba berunding dengan anggota yang menyelia lokap untuk sebarang pengecualian.

 

 

Apakah yang dilakukan dalam tempoh penahanan reman? 

 

Dalam tempoh reman, pihak polis akan menjalankan penyiasatan lanjut terhadap kesalahan yang diadukan. Saudara anda dikehendaki menjawab sebarang persoalan IO dan ini akan direkodkan secara rasmi dalam suatu percakapan bertulis yang dipanggil “statement 112”. Di samping itu, pihak polis juga akan menjalani kawad cam, serbuan terhadap premis dan lain-lain tindakan yang perlu bergantung kepada keperluan suatu kes bagi tujuan mengumpul bahan bukti. 

 

Lazimnya, di akhir tempoh penyiasatan tersebut, pihak polis boleh membuat kesimpulan berkenaan penglibatan saudara anda dalam kesalahan yang disyaki, berdasarkan bahan bukti yang dikumpul setakat itu. Pada peringkat tersebut, adalah dikatakan bahawa siasatan telah lengkap.

 

Sekiranya pihak polis berpandangan tiada kesalahan dibuktikan, mereka boleh melepaskan saudara anda atas jamin polis. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa saudara anda benar-benar terlepas daripada dakwaan sepenuhnya. Ia berkemungkinan bermaksud bahawa pihak polis tidak mempunyai lain-lain perkara untuk disiasat sebelum membuat rumusan muktamad berkenaan suatu dakwaan terhadap saudara anda.

 

 

Sekiranya pihak polis berpandangan terdapat bukti yang mencukupi, mereka boleh mengesyorkan supaya pertuduhan dikemukakan terhadap saudara anda. Syor tersebut dimajukan kepada pihak Pendakwa Raya yang mempunyai kuasa untuk memberikan kata putus sama ada pendakwaan dikemukakan terhadap saudara anda. 

 

Bagi kes-kes yang kurang rumit, keputusan untuk tuduh boleh dibuat sebelum berakhirnya tempoh reman. Bagi kes-kes yang lebih rumit, adalah bukan luar biasa untuk pertuduhan dikemukakan selepas beberapa bulan (selepas saudara anda dilepaskan atas jamin polis, di akhir tempoh reman). Dalam keadaan sedemikian, saudara anda mungkin dikehendaki berjumpa dengan IO apabila diperlukan untuk memberikan pernyataannya. 

 

 


 

 

Bahagian 2 – Pertuduhan dan Jamin Mahkamah

 

 

Apakah Itu Pertuduhan? 

 

Pertuduhan merupakan dakwaan rasmi yang dikemukakan oleh Kerajaan terhadap saudara anda. Suatu pertuduhan mengandungi butir-butir utama dakwaan yang perlu dibuktikan oleh pihak Kerajaan pada tahap melampaui keraguan munasabah. 

 

Mahkamah akan membuat keputusan sama ada pertuduhan dibuktikan atau tidak dibuktikan. Persoalan tersebut hanya boleh dijawab di akhir perbicaraan di Mahkamah. Tiada mana-mana pihak yang berhak atau berkuasa untuk menentukan sama ada seseorang bersalah untuk suatu kesalahan melainkan melalui proses perbicaraan. 

 

Apabila pertuduhan dikemukakan di Mahkamah, ia bermakna bahawa polis dan Pendakwa Raya telah bersetuju bahawa berdasarkan bahan bukti yang telah dikumpulkan, terdapat keterangan yang cukup kuat bagi membuktikan bahawa saudara anda bersalah. 

 

Seseorang yang dihadapkan ke Mahkamah untuk dituduh dikatakan akan “kena charge”.

 

 

 

Apakah yang berlaku apabila saudara saya dituduh di Mahkamah?

 

IO akan memaklumkan anda: 

 

1.     Di Mahkamah manakah pertuduhan akan dibacakan terhadap saudara anda; 

2.     Bilakah saudara anda akan dihadapkan ke Mahkamah untuk dituduh; dan 

3.     Kesalahan yang didakwa (Seksyen kesalahan).

 

Pada masa dan tarikh yang ditetapkan, saudara anda akan dihadapkan ke Mahkamah dan pertuduhan dibacakan terhadapnya. Selepas pertuduhan dibacakan (lazimnya dibacakan oleh Jurubahasa Mahkamah), Mahkamah akan bertanya kepada saudara anda sama ada beliau ingin memohon dibicarakan atau mengaku salah. Apabila seseorang dituduh, beliau dikenali sebagai “the Accused”, “Tertuduh”, atau “OKT” (Orang Kena Tuduh). 

 

 

 

Apa akan berlaku sekiranya saudara saya mengaku salah terhadap pertuduhan?

 

Pengakuan salah dibuat selepas dituduh di Mahkamah. Perkara ini berbeza daripada pengakuan yang diberikan oleh seorang saspek yang sedang disiasat oleh polis. Sekiranya OKT mengaku salah terhadap pertuduhan, Mahkamah boleh terus mensabitkan OKT dan menjatuhkan hukuman. Ini adalah kerana suatu pengakuan salah oleh OKT terjumlah kepada suatu pengakuan yang menyeluruh dan muktamad terhadap dakwaan yang dikemukakan oleh Kerajaan. 

 

Sekiranya Mahkamah tidak dapat meneruskan dengan peringkat jatuh hukum pada tarikh yang sama, Mahkamah boleh mempertimbangkan untuk melepaskan OKT dengan jamin sementara menunggu tarikh jatuh hukum. 

 

Untuk persoalan berkenaan hukuman, sila lihat Bahagian 4 di bawah. 

 

 

 

Apakah akan berlaku sekiranya saudara saya tidak mengaku salah dan memohon dibiciarakan? 

 

Sekiranya OKT memohon dibicarakan (“mohon bicara” atau “claim trial”), Mahkamah akan mendengar permohonan OKT untuk dilepaskan dengan jamin sementara menunggu perbicaraan diselesaikan. Dalam memutuskan persoalan jamin, Mahkamah akan mengambilkira beberapa faktor berkenaan kesalahan yang didakwa dan berkenaan OKT secara peribadi. 

 

Sekiranya Mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan jamin tersebut, maka OKT akan ditahan reman sepanjang proses perbicaraan sehingga selesai. 

 

Sekiranya Mahkamah membenarkan OKT dilepaskan dengan jamin, OKT dikehendaki mengemukakan penjamin yang perlu menyediakan sejumlah wang yang dibayar ke Mahkamah sebagai cagaran. Tujuan wang jamin tersebut adalah untuk memastikan kehadiran OKT ke Mahkamah tanpa gagal apabila diperlukan. 

 

Mahkamah juga boleh mengenakan lain-lain syarat jamin, contohnya menyerahkan paspot, menjauhi mangsa, melaporkan diri ke Balai Polis setiap bulan, dan sebagainya. 

 

Apabila Penjamin telah membuat pembayaran wang jamin, OKT boleh dilepaskan dengan jamin. Maksudnya OKT boleh balik rumah dan hanya perlu hadir ke Mahkamah apabila diperlukan. 

 

Sekiranya OKT gagal untuk hadir ke Mahkamah pada tarikh-tarikh yang ditetapkan atau gagal untuk mematuhi syarat-syarat jamin, wang jamin yang didepositkan oleh Penjamin boleh dilucutkan sepenuhnya atau sebahagiannya. Tindakan sedemikian boleh berlaku apabila Mahkamah berpuashati bahawa Penjamin telah gagal untuk mengambil tindakan yang perlu dan langkah berjaga-jaga untuk memastikan OKT mematuhi syarat-syarat jaminnya.

 

Bukan setiap kesalahan boleh dijamin. Misalnya, sekiranya OKT dituduh untuk kesalahan jenayah berat yang melibatkan hukuman mati, undang-undang menetapkan bahawa beliau tidak boleh dijamin. Terdapat pengecualian dalam keadaan terpencil tertentu (very exceptional cases).

 

Selepas persoalan jamin telah dimuktamadkan, Mahkamah akan menetapkan suatu tarikh untuk pihak-pihak hadir untuk sesi Pengurusan Kes (“Case Management” atau “CM”). Terdapat beberapa langkah-langkah penting yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak dan Mahkamah dalam tempoh sesi-sesi Pengurusan Kes sebelum bermulanya perbicaraan. 

 

 

 

Siapakah layak dijadikan penjamin?

 

Sesiapa sahaja boleh dijadikan penjamin untuk suatu pertuduhan dengan syarat mereka warganegara Malaysia dan bukan diisytiharkan bankrap. Konsep penjamin untuk pertuduhan Mahkamah berbeza daripada konsep menjamin pinjaman. 

 

 

 

Apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh saya bagi menghadapi pertuduhan yang bakal dikemukakan terhadap saudara saya?

 

Sewajarnya keluarga OKT berbincang untuk mengenalpasti siapakah akan dijadikan penjamin untuk OKT dan untuk menyediakan wang jamin. 

 

Keluarga OKT mungkin juga dikehendaki membawa paspot milik OKT ke Mahkamah pada tarikh pertuduhan bagi melancarkan proses memproses jamin. Ini adalah kerana OKT tidak akan dilepaskan sehingga kesemua syarat jamin telah dipenuhi. 

 


 

Bahagian 3 – Pengurusan Kes

 

Apakah akan berlaku selepas saudara saya dituduh di Mahkamah?

 

Tidak kira sama ada jamin dibenarkan, selepas pertuduhan telah difailkan, Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk sesi pengurusan kes. Dalam sesi pengurusan kes, pihak Pendakwaan dan pihak Peguambela akan berunding bagi menguruskan beberapa isu urustadbir kes berkaitan dengan perbicaraan yang berkenaan. 

 

Lebih penting, dokumen-dokumen yang bakal digunakan oleh pihak Pendakwaan untuk membuktikan pertuduhan akan dikemukakan kepada pihak Pembelaan. Rakaman percakapan OKT juga akan diserahkan sekali. 

 

Setelah isu-isu sedemikian telah dirunding dan diselesaikan, barulah Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara. Pengurusan kes boleh dilakukan di dalam satu sesi atau di dalam beberapa sesi pada tarikh-tarikh yang berbeza.

 

 

Apakah yang boleh dilakukan pada peringkat Pengurusan Kes? 

 

Selepas dokumen-dokumen kes diserahkan kepada Peguambela OKT, suatu representasi boleh disediakan dan dikemukakan kepada pihak Pendakwaan berkenaan beberapa perkara dan cadangan: 

 

1.     Untuk menarik balik pertuduhan; 

2.     Untuk menurunkan pertuduhan kepada Seksyen / kesalahan yang lebih ringan; 

3.     Bagi mencapai persetujuan berdasarkan rundingan hukuman; dan 

4.     Untuk bersepakat menetapkan hukuman yang dipersetujui sebagai syarat pengakuan salah. 

 

Selain daripada perkara di atas, kemungkinan terdapat isu-isu yang belum disiasat dengan lengkap oleh pihak polis. OKT, melalui Peguambelanya, boleh memohon supaya siasatan lanjut dijalankan bagi menyokong pembelaannya. Kandungan permohonan sedemikian boleh merangkumi apa yang dikenali sebagai “Notis Alcontara”. 

 

Pihak polis bertanggungjawab untuk menyiasat dakwaan oleh pihak pengadu dan juga pembelaan OKT secara adil dan profesional. Sekiranya pihak polis gagal untuk menyiasat pembelaan OKT, ia boleh menjejaskan atau memberikan kesan terhadap kes Pendakwaan. 

 

 

 

Berapa lamakah tempoh sehingga perbicaraan bermula?

 

Tempoh menunggu ini bergantung kepada pelbagai faktor seperti kategori Mahkamah, kedudukan Mahkamah dalam hirarki sistem kehakiman, lokasi Mahkamah dan sebagainya. Kelapangan Mahkamah untuk mendengarkan perbicaraan kes saudara anda adalah tertakluk juga kepada beban kerja Mahkamah yang juga perlu mendengar kes-kes yang lebih lama, kes-kes-kes sambung bicara dan kes yang diberikan keutamaan, contohnya yang melibatkan penjawat awam, kanak-kanak dan sebagainya. Secara umum, anda boleh mengandaikan bahawa Mahkamah akan bersedia untuk mendengarkan perbicaraan dalam masa 2 – 6 bulan dari tarikh OKT dipertuduhkan. 

Bahagian 4 – Perbicaraan

 

Apakah berlaku di dalam perbicaraan jenayah?

 

Perbicaraan terbahagi kepada 2 fasa; iaitu bermula dengan kes Pendakwaan dan diikuti kes Pembelaan. 

 

Di peringkat kes Pendakwaan, pihak Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya atau Pegawai Pendakwa akan memanggil saksi-saksi bagi menyokong dakwaan di dalam kertas pertuduhan. Setelah para saksi telah selesai memberi keterangan, pihak Pendakwaan akan menutup kes. Di akhir kes Pendakwaan, Mahkamah akan menjemput pihak Pembelaan untuk membuat hujahan di akhir kes Pendakwaan (“submission of no case to answer”) dan pihak Pendakwaan berhak mengemukakan hujahan balas. Kedua-dua pihak akan berhujah berdasarkan undang-undang yang terpakai untuk kes dan keterangan yang telah dikemukakan. Tatacara dan turutan penghujahan mungkin berbeza sedikit dari Mahkamah ke Mahkamah mengikut keperluan Hakim atau Majistret yang bersidang. Setakat tarikh ini, adalah amalan biasa di Mahkamah Lembah Kelang untuk kedua-dua pihak diarahkan memfailkan hujahan secara serentak dan tarikh lain ditetapkan untuk keputusan atau klarifikasi.

 

Di akhir kes Pendakwaan, Mahkamah akan membuat keputusan sama ada terbuktinya kes yang perlu dijawab oleh OKT. Persoalan utama di hadapan Mahkamah ialah sama ada berdasarkan kekuatan keterangan yang dikemukakan oleh Pendakwaan, Mahkamah boleh mensabitkan OKT sekiranya beliau tidak menjawab kes Pendakwaan dengan penjelasannya sendiri. 

 

Sekiranya OKT dipanggil untuk membela diri, fasa kedua akan bermula iaitu kes Pembelaan. Pada peringkat kes Pembelaan, OKT dikehendaki memberi keterangan untuk menerangkan cerita pembelannya. Pihak Pembelaan boleh memanggil saksi-saksi untuk menyokong pembelaan tersebut. Pembelaan boleh merumuskan kesnya dengan mengemukakan hujahan di akhir kes Pembelaan. Pihak Pendakwaan juga mempunyai hak untuk mengemukakan hujahan balas bagi menjawab kes Pembelaan. 

 

Di peringkat ini pula, barulah Mahkamah memutuskan sama ada berdasarkan keseluruhan keterangan kes, pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes pada tahap melampaui keraguan munasabah. Sekiranya jawapannya negative, maka OKT akan dilepaskan dan dibebaskan serta-merta. Sebaliknya, sekiranya jawapannya positif, maka OKT akan disabitkan dan dijatuhkan hukuman. 

 

Suatu pendengaran berkenaan hukuman akan dijalankan sebaik sahaja keputusan sabitan diumumkan. Dalam keadaan yang luarbiasa, pendengaran berkenaan hukuman boleh ditangguhkan ke tarikh yang lain.  

 

 

Apakah yang berlaku dalam peringkat hukuman (jatuh hukum)? 

 

Sekiranya OKT disabitkan, ia bermaksud bahawa beliau telah didapati bersalah melakukan kesalahan yang dipertuduhkan. Walaupun kesannya adalah sama jika beliau disabitkan setelah mengaku salah di awal kes, namun kesan sabitan terhadap OKT setelah suatu perbicaraan penuh dijalankan adalah berbeza. Lazimnya, hukuman adalah lebih ringan (umpama diberikan diskaun) sekiranya OKT mengaku salah pada peringkat awal kes. Bagaimanapun, terdapat penghakiman-penghakiman kes lampau yang menunjukkan bahawa Mahkamah kurang memberikan keringanan hukuman walaupun OKT mengaku salah, apabila kesalahan yang dipertuduhkan terlalu berat, misalnya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. 

 

Saudara anda sewajarnya mendapatkan nasihat Peguambela dan mengimbangi risiko sama ada beliau hendak mengaku salah di peringkat awal bagi mendapatkan keringanan hukuman (dan melepaskan peluang membela diri), atau untuk memohon bicara bagi menggunakan peluang untuk mendapat perintah lepas dan bebas (dan melepaskan diskaun terhadap hukuman kerana mengaku salah).  

 

Mahkamah akan menjatuhkan hukuman selaras dengan peruntukan undang-undang dengan mengambilkira sifat dan latar belakang OKT dan juga faktor-faktor yang berbangkit di dalam perbicaraan yang boleh memberatkan atau meringankan keseriusan kesalahan yang didakwa.

 

Sebagai contoh, dalam situasi di mana seorang tertuduh didapati bersalah mengambil dadah cannabis, sekiranya didapati OKT menghidap penyakit kanser peringkat lanjut dan hanya menggunakan cannabis untuk meringankan kesan sampingan chemotherapy, Mahkamah mungkin boleh mempertimbangkan suatu hukuman yang tidak melibatkan hukuman penjara. Bagaimanapun, untuk kesalahan yang sama, jika OKT didapati telah menggunakan cannabis hanya secara rekreasi, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan. 

 

 

Adakah hukuman mesti dijalankan serta-merta? 

 

Perlaksanaan hukuman boleh ditangguhkan (digantungkan atau “stayed”) jika terdapat rayuan yang difailkan oleh OKT yang disabitkan. Isu penggantungan adalah di bawah budibicara Mahkamah bicara. Suatu deposit tambahan yang bersifat seperti konsep wang jamin mungkin boleh diperintahkan oleh Mahkamah untuk memastikan saudara anda (bakal perayu) akan menghadiri Mahkamah apabila diperlukan. 

 

 

Adakah suatu perintah sabitan menjejaskan peluang untuk saudara saya mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan?

 

Untuk sektor swasta, kelayakan permohonan untuk mendapatkan kerja adalah bergantung kepada amalan industri dan polisi majikan yang berkenaan. There is no easy answer to this question if one is interested in employment in the private sector. Contohnya, sekiranya saudara anda mempunyai rekod sabitan lampau untuk kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atau yang berkaitan dengan kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh menghalang / melarang daripada mengeluarkan lesen kepada saudara anda untuk menjadi pengasuh atau tenaga pengajar kanak-kanak. Sekiranya saudara anda pernah disabitkan dengan kesalahan yang melibatkan integriti misalnya rasuah, penipuan dan pecah amanah, beliau boleh mendapat tentangan daripada memasuki beberapa bidang di mana integriti adalah diutamakan, contohnya sektor perbankan dan perundangan.

 

Lebih jelas, dalam sektor kerajaan, rekod kesalahan jenayah boleh memberi kesan besar dan menjejaskan peluang pekerjaan saudara anda. Pesalah yang memegang jawatan di dalam perkhidmatan awam adalah tertakluk kepada beberapa Pekeliling Perkhidmatan dan boleh menghadapi tindakan berat sehingga dibuang kerja. 

 

 

Kami tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah. Apakah yang boleh dilakukan?

 

Setiap OKT yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah juga mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah yang lebih tinggi. Hak merayu ini boleh dilaksanakan sebanyak 2 kali kepada Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa rayuan. Ini tertakluk kepada beberapa prosidur dan syarat tertentu; misalnya untuk kes-kes yang dituduh di Mahkamah Majistret, perayu perlu mendapatkan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Rayuan (iaitu peringkat tertinggi untuk kes-kes yang bermula dari Mahkamah Majistret). Oleh yang demikian, suatu dapatan sabitan atau lepas dan bebas di peringkat bicara tidak semestinya “memuktamadkan” suatu kes. Mana-mana pihak (sama ada Pendakwaan mahupun pihak Pembelaan) yang tidak berpuashati dengan keputusan dalam bicara tersebut boleh merayu.

 

Suatu rayuan boleh difailkan oleh pihak Pendakwaan atau Pembelaan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah bicara. Dalam keadaan yang istimewa, kebenaran boleh diberikan untuk melanjutkan had masa tersebut supaya rayuan boleh difailkan di luar masa 14 hari tersebut. Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan supaya saudara anda memberikan arahan yang jelas kepada Peguambela sama ada ada rayuan perlu difailkan atau tidak difailkan, sekiranya keputusan bicara tidak memihak kepada OKT. 

 

 

 

 

Adakah saudara saya perlu merayu?

 

Ia bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya, sama ada alasan Mahkamah bicara adalah munasabah di sisi undang-undang (“sound in law”), dan sama ada alasan tersebut telah menyumbang kepada keputusan yang hendak dirayukan. Satu lagi faktor adalah di sudut praktikal: adakah hukuman yang dijatuhkan didapati ringan, dengan mengambilkira faktor-faktor dan halkeadaan kes? Ini adalah kerana Mahkamah rayuan boleh juga menolak rayuan saudara anda, dan lebih daripada itu, Mahkamah juga boleh menambahkan hukuman.

 

Persoalan tersebut sewajarnya dibincangkan dengan terperinci dengan Peguambela dan saudara anda berperanan untuk membuat keputusan setelah mendapat nasihat undang-undang. 

 

Oleh kerana pendengaran rayuan dilihat sebagai penerusan perbicaraan, secara amnya adalah dinasihatkan supaya Peguambela yang mengendalikan perbicaraan juga dilantik untuk mengendalikan rayuan atau untuk menasihatkan peguam yang bakal dilantik untuk mengendalikan rayuan. Ini adalah kerana secara praktikal, Peguambela yang mengendalikan perbicaraan lebih arif berkenaan latar belakang dan halatuju kes. 

[n.b. This writing is an abridged translation with some modifications from an earlier contribution by Encik Farhan Read, “Frequently Asked Questions for Criminal Clients”] published on 7.12.2021 from this blog.

Previous
Previous

Law School Tips

Next
Next

Frequently Asked Questions for Criminal Clients